London: Penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2024-25, Mohamed Salah, dicalonkan untuk Anugerah Pemain Terbaik PFA, bersama rakan sepasukannya dari Liverpool, Alexis Mac Allister.
Pemain Newcastle United, Alexander Isak; pemain Manchester United, Bruno Fernandes; pemain Arsenal, Declan Rice; dan pemain Chelsea, Cole Palmer; turut tersenarai sebagai empat lagi calon yang dipilih oleh rakan sepasukan masing-masing, menurut PFA dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Salah menjaringkan 29 gol dan mencatatkan 18 bantuan gol jaringan, menyamai rekod 47 penglibatan gol dalam satu musim EPL, yang sebelum ini dipegang oleh Andrew Cole dan Alan Shearer dengan ketika itu setiap pasukan bermain 42 perlawanan, berbanding 38 sejak musim 1995-96.
Pemain antarabangsa Mesir itu memainkan peranan penting dalam kejayaan Liverpool memenangi liga, menamatkan musim dengan kelebihan 10 mata di hadapan Arsenal di tempat kedua.
Isak berada di tempat kedua dalam carta penjaring dengan 23 gol, mengetuai usaha Newcastle untuk layak ke Liga Juara-Juara dengan kedudukan lima teratas.
Palmer pula menjaringkan 15 gol dan mencatatkan lapan bantuan gol ketika Chelsea menamatkan musim di tangga keempat.
Pemenang anugerah PFA tahun ini akan diraikan dalam satu majlis di Manchester pada 19 Ogos.
© New Straits Times Press (M) Bhd




