London: William Saliba menandatangani kontrak jangka panjang baharu bersama Arsenal, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, hari ini.
Pertahanan Perancis itu dilaporkan menandatangani perjanjian selama lima tahun, yang akan mengekalkannya di kelab sehingga 2030.
Kontrak terdahulunya sepatutnya berakhir pada 2027.
Saliba, 24, dijangka akan melanjutkan tempoh di Emirates meskipun sebelum ini dilaporkan menarik minat Real Madrid.
Pemain pertahanan tengah itu menyertai Gunners pada 2019, tetapi melalui beberapa tempoh pinjaman sebelum berjaya menjadi pemain tetap dalam pasukan Mikel Arteta pada musim 2022/23.
Sejak itu, Saliba menjadi tonggak utama Arsenal yang menamatkan musim di tempat kedua dalam tiga musim terakhir EPL.
“Saya rasa seperti di rumah sendiri. Kami ada pasukan yang baik, skuad yang mantap, kakitangan yang bagus.
“Jurulatih sangat sesuai untuk saya, jadi inilah tempat terbaik untuk saya berada,” kata Saliba.
“Saya gembira setiap kali dapat memakai jersi ini. Saya cuba memberikan segalanya dan kini saya akan berikan lebih lagi untuk kelab ini dan penyokong.”
Arteta berkata: “William disayangi oleh semua pemain dan kakitangan, dan itu menggambarkan perwatakan, komitmen serta sikapnya setiap hari.
“Sejak menyertai kami, William berkembang begitu banyak, menerima tanggungjawab dan mencipta hubungan yang kuat dengan penyokong serta semua di kelab.”
Selepas enam perlawanan musim ini, Arsenal kini berada di tempat kedua EEPL iaitu ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Liverpool.
© New Straits Times Press (M) Bhd




