am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Kononnya mahu mengubah nasib pelajar, namun seorang sami sebaliknya bertindak merogol pelajar itu dalam kebun sawit, empat tahun lalu.
Hari ini, dia menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini.
Hakim Harmi Thamri Mohamad membuat keputusan selepas tertuduh, Pechimuthu Vethumalay, 53, yang menyambut hari lahirnya hari ini, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah untuk mematahkan kes pendakwaan dikenakan terhadapnya.
Ketika menyampaikan keputusan itu, Harmi Thamri berkata, pengakuan dibuat tertuduh ketika membela diri lebih kepada bersifat penafian semata-mata dan sesuatu pemikiran terkemudian.
“Tiada sebarang bukti sokongan diberikan untuk membolehkan atau mengukuhkan pembelaannya seterusnya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan.
“Sehubungan itu, penafian kosong semata-mata bukanlah sesuatu boleh dimasukkan sebagai keraguan munasabah.
“Mahkamah mendapati tertuduh bersalah terhadap pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan dengan hukuman berkuat kuasa hari sabitan (hari ini),” katanya.
Selain hukuman penjara, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling sepanjang tahanan serta pengawasan polis dua tahun sebaik selesai hukuman.
Seramai enam orang saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding perbicaraan manakala tertuduh mengemukakan empat saksi termasuk dirinya di peringkat pembelaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol pelajar berusia 12 tahun (ketika kejadian) dalam kebun sawit Jalan Yong Peng-Labis, Yong Peng, pada jam 3 petang, pada 28 September 2021.
Seksyen 376 (2) (d) memperuntukkan penjara sehingga 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh berjumpa keluarga mangsa dan memberitahu dia mendapat mimpi bagi membantunya yang hidup susah kepada senang.
Tertuduh kemudiannya membawa mangsa kononnya mahu upacara itu sebaliknya dibawa ke sebuah kebun sawit lalu merogolnya.
Mangsa kemudiannya pulang ke rumah dan memberitahu ibu bapanya berhubung kejadian itu sebelum membuat laporan polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd




