Sampel kes positif di Parlimen berkemungkinan varian Delta

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Empat sampel kes positif COVID-19 yang diperoleh hasil saringan di Parlimen pada Khamis lalu kemungkinan besar adalah varian Delta.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, melalui hasil ujian genotip (Allplex SARS-CoV-2 Variants II Assay) menggunakan platform Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) yang dapat memberikan hasil tepat untuk varian membimbangkan (VOC) dalam tempoh empat jam.

“Hasil daripada PCR Genotyping Assay, semua empat sampel menunjukkan mutasi pada spike protein yang dikenal pasti wujud pada varian Delta atau varian Kappa.

“Namun, berdasarkan VOC yang sedang menular dalam komuniti, ia berkemungkinan besar adalah varian Delta,” katanya di Facebook beliau malam ini.

Beliau berkata, ujian menggunakan genotip PCR itu dilakukan memandangkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga sedang menjalankan analisis jujukan genom penuh (WGS) ke atas empat sampel terbabit, namun ia mengambil tempoh sekitar lapan hingga 14 hari untuk disempurnakan.

“IMR sudah menerima empat sampel RT PCR kes positif COVID-19 hasil saringan dijalankan di Parlimen untuk analisis jujukan genom penuh (whole genomic sequencing).

“Sampel-sampel ini sudah diterima daripada Makmal Kesihatan Awam Sungai Buloh,” katanya.

Beliau berkata, kajian klinikal di luar negara dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah melaporkan kes yang dijangkiti varian Delta mempunyai kandungan virus 1,200 kali lebih tinggi, berbanding kes yang dijangkiti dengan varian biasa (non-VOC).

Terdahulu, dalam kenyataan petang tadi, Dr Noor Hisham turut memaklumkan seramai 2,093 individu sudah disaring sebelum sidang khas Dewan Rakyat bermula dan 56 kes positif dikesan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Comment