am@hmetro.com.my
Kuala Krai: “Saya sangka dia lambat balik sebab hujan lebat dan petir, namun sebaik hujan reda, rakannya datang ke rumah dan beritahu Naim lemas di sungai,” kata Noraziyawani Abu Bakar, 43.
Noraziyawani berkata, anaknya, Lut Na’iman Mohd Noor Aziron, 14, yang mesra dipanggil Naim keluar dari rumah di Guchil, di sini, kira-kira jam 5.30 petang semalam selepas dijemput rakan dengan motosikal.
Katanya, ketika itu, Naim hanya memaklumkan hendak meronda di sekitar kampung bersama rakan dan tidak memberitahu hendak ke sungai.
“Sekitar jam 7 malam, saya mulai berasa gelisah kerana Naim masih belum pulang sehinggalah selepas hujan reda, seorang rakannya datang memberitahu Naim dan Rayyan lemas.
“Saya pada mulanya tidak percaya dan bertanya kali kedua, sebelum rakannya mengiyakan perkara itu dan selepas azan Maghrib saya terus bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.
Noraziyawani berkata, anak keempat daripada enam beradik itu pernah datang ke kawasan sungai itu sebelum ini, namun dia tidak mengetahui sama ada Naim datang untuk mandi atau sekadar bermain di kawasan berkenaan.
“Kalau dia beritahu pun, kebiasaannya selepas balik rumah kerana bimbang dimarahi, tambahan pula Naim tidak pandai berenang,” katanya.
Noraziyawani berkata, tiada perubahan pelik ditunjukkan arwah anaknya sebelum kejadian dan dia masih bermain bersama adik-adiknya seperti biasa.
“Dia seorang yang pendiam dan sebelum keluar semalam pun dia seperti biasa, tidak menunjukkan sebarang perubahan.
“Saya memang tidak menyangka perkara ini akan berlaku, namun saya reda dengan apa yang terjadi,” katanya.
Media semalam melaporkan, kegembiraan lima sekawan mandi di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Aur Duri, bertukar tragedi apabila dua daripada mereka dikhuatiri lemas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa dilaporkan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada jam 8.30 pagi tadi sebelum mayat Naim ditemui pada jam 9.10 pagi.
Katanya, mayat ditemukan di dasar sungai pada kedalaman kira-kira tiga meter, kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai.
Bagaimanapun, seorang lagi mangsa, Muhamad Rayyan Hakimie Mohd Yusmiza, 14, masih belum ditemui dan usaha pencarian sedang giat dijalankan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

