
Muhammad Fauzi (depan) meninjau persiapan pertandingan memancing Santai Joran Kuala Lumpur di Taman Tasik Metropolitan, Kepong pada Ahad ini.
SERAMAI 500 peserta bakal berentap merebut hadiah keseluruhan bernilai RM17,000 dalam Santai Joran Kuala Lumpur 2023 di Taman Tasik Metropolitan, Kepong pada Ahad ini.
Timbalan Pengarah, Jabatan Pembangunan Landskap & Rekreasi, DBKL, Muhammad Fauzi Omar berkata, program memancing itu diharap dapat tingkatkan promosi pelancongan domestik di kawasan tasik di ibu kota selain merapatkan hubungan kekeluargaan dan masyarakat.
“Tasik ini menjadi sebutan kaki pancing apabila dalam pertandingan sebelum ini lebih 300 ekor ikan dinaikkan kaki pancing antaranya tilapia, patin, belida, toman, keli, ketutu serta ikan bandar raya dengan berat antara 100gram (g) hingga 10 kilogram (kg).
“Selepas setahun tiada pertandingan di sini, kini ia kembali dan tidak akan menghampakan pemancing di tasik ini dalam kalangan warga kota.



