Pengarah sebuah syarikat kontraktor mengesahkan pembayaran RM4.8 juta kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibuat sebagai tanda ‘membalas budi’ bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas membantu syarikatnya memperoleh projek bernilai RM62 juta.
Datuk Seri Azman Yusoff, yang juga saksi pendakwaan ke-23 dalam perbicaraan kes Muhyiddin, berkata pembayaran itu berkaitan Projek Membina Jalan Baru Menyambung Felda Bukit Jalur ke Gemas, Negeri Sembilan yang diperoleh syarikatnya, KCJ Engineering Sdn Bhd secara rundingan terus.
Menurutnya, jumlah RM4.8 juta itu ditentukan berdasarkan kiraan dan kemampuan syarikatnya untuk membuat sumbangan sebanyak lima peratus daripada nilai projek.
Azman yang juga Presiden Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) berkata, beliau turut memaklumkan kepada kontraktor yang ditemuinya dan berminat mendapatkan projek di bawah Program Jana Wibawa supaya membuat sumbangan kepada Bersatu.
“Saya ahli perniagaan. Saya perlu akur dengan Perdana Menteri (Muhyiddin demi kelangsungan syarikat saya. Ketika itu, industri pembinaan lumpuh, tiada projek sebab itu saya akur untuk beri sumbangan.
“Saya dan KCJ masih membuat bayaran kepada PPBM sebanyak RM4.8 juta walaupun ketika itu Tan Sri Muhyiddin tidak lagi menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana saya sebagai ahli perniagaan ingin membalas budi di atas bantuan yang diberikan oleh TSMY yang sedikit sebanyak telah membantu saya dan KCJ untuk mendapatkan projek secara rundingan terus.
“Berkait dengan projek yang saya perolehi rundingan terus itu, saya tidak membuat apa-apa sumbangan kepada mana-mana parti politik lain kerana saya hanya terhutang budi kepada Tan Sri Muhyiddin yang telah membantu saya dan KCJ Engineering,” katanya.

Azman berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes Muhyiddin yang berdepan tujuh pertuduhan, termasuk menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM225.3 juta serta menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat.
Terdahulu, Azman memberitahu mahkamah bahawa beliau bertemu Muhyiddin selepas Kejohanan Golf Tan Sri Muhyiddin Charity Golf (TSMCG) di Tropicana Golf Club Damansara pada Julai 2020.
Dalam pertemuan yang hanya dihadiri mereka berdua itu, Azman bertanyakan peluang perolehan projek kerajaan yang boleh dimohon ahli PKBM bagi membantu industri pembinaan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi.
Beliau kemudian dimaklumkan mengenai Program Jana Wibawa dan diminta mendapatkan maklumat lanjut daripada Timbalan Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Asmar Asmadi Abdullah Sani.

Azman berkata, Muhyiddin pada pertemuan itu turut memaklumkan sekiranya terdapat ahli PKBM atau kontraktor yang ingin membuat sumbangan, ia boleh disalurkan terus kepada Bersatu dan bukannya kepada mana-mana individu dalam parti berkenaan.
“Saya memberikan sumbangan ini adalah kerana saya ingat akan pemakluman secara spontan Tan Sri Muhyiddin semasa saya mula bertanyakan kepada berkenaan projek rundingan terus di bawah Jana Wibawa yang mana beliau terlebih dahulu memaklumkan kepada saya berkenaan jika ingin membuat sumbangan perlulah dibuat terus kepada Bersatu.
“Saya menganggap pemakluman itu adalah satu ayat yang membawa maksud bahawa Tan Sri Muhyiddin mengharapkan akan ada sumbangan daripada syarikat yang mendapat projek di bawah Janawibawa untuk memberikan sumbangan kepada Bersatu. Jadi saya sebagai seorang ahli perniagaan yang ingin meminta sokongan dan bantuan daripadanya menganggap pemakluman itu perlu dituruti.
“Saya percaya sekiranya surat permohonan syarikat saya tidak disokong oleh Tan Sri Muhyiddin dan tidak di proses oleh Pejabat Perdana Menteri, sudah tentu syarikat saya tidak akan berjaya melalui proses penilaian di Kementerian Kewangan dan seteruskan berjaya dianugerahkan projek ini secara rundingan terus.
“Sebagai seorang ahli perniagaan yang sudah berpengalaman selama 25 tahun dalam industri pembinaan dalam projek kerajaan, saya percaya seorang Perdana Menteri boleh membantu mempengaruhi tindakan dan keputusan mana-mana Menteri di setiap kementerian dalam Kerajaan Malaysia, kerana Perdana Menteri adalah ketua Kerajaan dan mempunyai kuasa melantik dan memecat mana-mana Menteri Kabinet.
“Sekiranya syarikat saya tidak berjaya dianugerahkan Projek Membina Jalan Baru Menyambung Felda Bukit Jalur Ke Gemas, Negeri Sembilan Secara Rundingan Terus Dibawah Program Janawibawa ini, saya tidak akan membuat sumbangan kepada Bersatu,” katanya lagi.

Azman turut berkata, bayaran RM4.8 juta itu dibuat walaupun KCJ Engineering ketika itu masih belum menerima sebarang bayaran daripada kerajaan.
Katanya, beliau mendahulukan wang berkenaan kerana yakin syarikatnya akan menerima bayaran pendahuluan serta tuntutan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) selepas memperoleh Surat Setuju Terima bagi projek terbabit.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.
Sumber: Utusan Online (Suwarni Mokhtar)

