Saya cuma hargai isteri, tiada niat mahu ‘overshadow’ – suami Ella

Saya cuma hargai isteri, tiada niat mahu ‘overshadow’ – suami Ella

KUALA LUMPUR: Suami kepada Ratu Rock negara, Kapten Azhar Ghazali mengakui, tidak pernah terfikir untuk membayangi atau menenggelamkan isterinya setiap kali tampil membuat persembahan bersama dalam konsert.

Bagaimanapun, menurut Azhar, dia mengambil pendekatan positif terhadap pelbagai pandangan netizen berhubung kemunculannya di atas pentas dan lebih mengutamakan pandangan individu yang rapat dengannya serta pasukan produksi.

“Saya sentiasa positif dan lebih memberi perhatian kepada pandangan orang terdekat seperti Jojie, rakan pasukan dan terutama sekali pengarah muzik kami, Datuk Acis. Saya juga terbuka menerima kritikan dan sentiasa berusaha memperbaiki diri, termasuk mengikuti kelas vokal.

“Tujuan saya hanyalah untuk menghargai Ella dan memeriahkan persembahan tersebut. Saya tidak pernah berniat untuk menenggelamkan atau mengatasi persembahan dia.

“Saya ada kerjaya saya sendiri dan kemunculan saya di pentas adalah sebagai tanda penghargaan kepada isteri saya,” katanya ketika ditemui di Majlis Tertinggi Rockqueen Ella : Homecoming Edisi 60 Permata Biru di ibu negara, hari ini.

Mengulas lanjut, Azhar menjelaskan kehadirannya di pentas selama ini dibuat berdasarkan kesesuaian persembahan dan keperluan lagu yang dibawakan.

“Ya, kemunculan saya di pentas adalah berdasarkan kesesuaian. Contohnya bagi lagu-lagu duet Ella, tidak mudah untuk sentiasa menjemput Datuk Ramli Sarip.

“Jadi apabila peminat menyukai lagu tersebut dan ia sesuai dipersembahkan bersama band, saya menjadi pilihan yang paling praktikal untuk membawanya di atas pentas,” ujarnya.

Sementara itu, Ella turut menegaskan, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk berkongsi pentas dengan suaminya, malah menganggap Azhar sebagai individu yang banyak membantu dalam perjalanan kerjayanya.

“Saya okey sahaja. Saya lebih senang bekerjasama dengan Kapten kerana dia banyak membantu saya dari segi idea dan nasihat. Saya tidak kisah dia berada di atas pentas bersama saya.

“Kami berjiwa rock and roll, jadi tidak ada isu sensitif mengenai perkara itu. Malah, dia memberi semangat kepada saya. Kalau bukan kerana idea dan sokongan mereka semua, mungkin saya tidak akan mengadakan konsert seperti ini.

“Saya sangat bersyukur kerana dapat terus bertemu peminat lama dan baharu serta mengembangkan lagi kerjaya saya,” katanya.

Terdahulu, kemunculan Azhar bersama Ella dalam beberapa siri persembahan dan konsert mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Malah, ada yang mempersoalkan penglibatannya di atas pentas, manakala sebahagian peminat pula melihat kehadirannya sebagai pelengkap persembahan penyanyi legenda itu. – UTUSAN.

Scroll to Top