KUALA LUMPUR – Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi mendedahkan dia hampir menyertai salah sebuah kelab utara tanah air bagi menghadapi saingan musim 2024/25.
Perkara ini dinyatakan Liridon ketika menjawap soalan peminat menerusi laman media sosial Instagram miliknya yang bertanyakan sama ada dia berminat sekiranya diberi peluang untuk kembali bersama bekas pasukannya Kedah Darul Aman.
“Saya akan kongsikan perkara ini sendiri. Hello dan selamat sejahtera kepada semua. Saya mahu berkongsi satu perkara dengan keluarga Kedah saya. Saya sentiasa teruja untuk kembali beraksi bersama Kedah.
“Sebelum saingan musim ini bermula, saya ada berkomunikasi dengan ketua jurulatih, Nafuzi Zain. Saya beritahu jurulatih yang saya berminat untuk beraksi di bawah bimbingannya. Dia juga memberitahu bahawa gemar dengan apa yang saya ada dan mahu saya berada dalam pasukan.
“Akan tetapi, atas sebab beberapa perkara, saya tidak dapat menyertai pasukan Kedah. Tetapi saya sentiasa bersedia untuk kembali pulang dan membantu pasukan tidak kira apa jua keadaan. Cinta saya terhadap Kedah sama seperti cinta saya kepada keluarga saya.
“Saya memberitahu perkara ini kerana mendapat banyak soalan berkenaan peluang kembali bersama Kedah. Saya ada menerima tawaran dalam beberapa bulan terakhir, dan saya mahu semua pihak tahu mengenainya. Semua atas dasar cinta, selamanya Hijau Kuning,” tulis pemain yang mesra dipanggil Matdon ketika menyarung jersi Kedah.
Selain Kedah, pemain kelahiran Kosovo ini pernah beraksi bersama beberapa pasukan seperti JDT, Melaka United dan Terengganu di Liga Malaysia.
Sebelum ini, Liridon turut menyuarakan hasrat untuk untuk kembali beraksi bersama skuad kebangsaan pada masa akan datang.
Dia bergelar ejen bebas apabila tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas beraksi dengan Terengganu FC dalam saingan Liga Malaysia musim lalu.
Bagi mengisi waktu lapang, pemain berusia 32 tahun itu menghabiskan waktu di Jerman di mana dia terlibat dengan salah sebuah liga futsal di negara itu.
Liridon beraksi dalam sebuah liga futsal Ballers dan saingan tersebut menyaksikan sebanyak 12 pasukan mengambil bahagian dengan Liridon yang juga pernah beraksi bersama kelab Australia, Newcastle Jets menyarung jersi Gonrgy Allstars. – MalaysiaGazette




