Pempengaruh dan usahawan popular, Ridzokumura menegaskan, Allahyarham isterinya, Akiko Okumura adalah seorang isteri dan ibu yang terbaik.
Justeru, dia tidak mahu mengenali atau mencari pengganti isterinya itu memandangkan tiada siapa yang mampu menandingi kebaikan dan kesetiaan yang diberikan arwah terhadap keluarganya.
“Insyaa-Allah abang tak nak kahwin lagi. Cukuplah abang jaga Sky sampai besar.
“Sebab tidak ada siapa yang mampu ganti tempat arwah macam mana kebaikan dan apa yang dia buat dekat abang. Tidak ada siapa boleh buat macam apa yang dia lakukan.
“Abang tak akan dapat orang macam dia. Dia tak ada kawan, tak ada sesiapa sebab itu dia tak ada dosa langsung dekat manusia.
“Dengan abang, dah ikhlaskan sepenuh hati. Abang nak dia masuk syurga,” katanya.
Perkara itu dikongsi Ridzo menerusi sesi siarang lansung di TikTok miliknya.
Untuk rekod, Ridzuan dan Akiko mendirikan rumah tangga pada Februari 2009.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Sky Taizo Okumura,13.
Terdahulu, pada 28 Februari lalu, Ridzokumura mengejutkan ramai pihak apabila memaklumkan berita kematian isterinya, Akiko Okumura.
Bagaimanapun, sehingga kini pihak polis masih menyiasat punca sebenar kematian Akiko yang dilaporkan terjatuh dari kediamannya di tingkat empat kondominium mewah yang terletak di Subang Jaya, Selangor.