Saya tak sabar tengok Piala Dunia di televisyen – KJ

KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin berjiwa besar apa menerima kekalahannya di kerusi Parlimen Sungai Buloh dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.

Ia merupakan kekalahan pertamanya selepas tiga penggal menjadi Ahli Parlimen Rembau.

Menteri Kesihatan itu berkata, ahli politik perlu melalui hakikat untuk tewas di gelanggang pilihan raya setiap lima tahun sekali.

Jelas beliau, setiap seseorang pemimpin itu dinilai oleh rakyat sama ada mereka cukup baik atau tidak dalam PRU.

“Pilihan raya adalah asas kepada mana-mana demokrasi yang berfungsi tetapi ia juga sesuatu yang memberitahu ahli politik sama ada mereka cukup baik atau sebaliknya. Jika rakyat sukakan anda atau tidak.

“Saya rasa saya telah mencuba yang terbaik. Tetapi saya tidak cukup baik. Tewas tetap tewas, tidak kira seberapa seberapa kecil pun jumlah atau berapa ramai yang menyatakan kekecewaan atas kekalahan anda,” tulisnya di Instagram hari ini.

Khairy bagaimanapun yakin kekalahan itu bukanlah penamat cerita dan perjuangannya dalam politik namun beliau perlu mengambil sedikit masa untuk merangka perancangan seterusnya.

Apatah lagi, beliau sudah bekerja keras sepanjang tempoh menjadi jeneral ‘dalam pertarungan negara dengan pandemik Covid-19.

“Sebenarnya, saya letih. Saya tidak mempunyai masa untuk berehat, sejak saya diminta menguruskan pandemik. Dua tahun yang sukar untuk saya mengemudi negara keluar daripada Covid-19.

“Tetapi ia adalah satu penghormatan untuk berkhidmat kepada negara pada masa yang kritikal dan saya gembira kita berjaya pulih,” katanya lagi.

Khairy juga menyampaijan pesanan agar mereka yang dilantik memegang mandat rakyat, menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh tanggungjawab, kebijaksanaan dan belas kasihan.

“Negara memerlukan kestabilan dan kepimpinan lebih daripada sebelumnya. Saya doakan anda semua yang terbaik.

“Saya tidak sabar menantikan Piala Dunia di televisyen,” tulisnya.

Dalam PRU15 semalam, Khairy, calon BN di Sungai Buloh, tewas kepada Datuk R. Ramanan dari Pakatan Harapan yang menang di kerusi itu dengan majoriti 2,693 undi. – MalaysiaGazette