Sejarah buat arena bola sepak Jepun

Sejarah buat arena bola sepak Jepun

Asano (tengah) diraikan pemain Jepun selepas meledak gol kedua pasukan ketika berdepan Jerman dalam aksi Kumpulan E Piala Dunia 2022 di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha.- Foto EPA

KEMENANGAN Jepun ke atas Jerman di Piala Dunia disifatkan sebagai satu sejarah buat arena bola sepak negara matahari terbit itu.

Malah pengendali Jepun, Hajime Moriyasu menyifatkan kemenangan mengejutkan 2-1 dilakar ke atas pemenang Piala Dunia empat kali itu sebagai detik bersejarah.

“Saya percaya kemenangan ke atas Jerman adalah detik bersejarah, kemenangan bersejarah, sekurang-kurangnya…

“Jika saya memikirkan mengenai perkembangan bola sepak Jepun, kami telah maju setapak lagi. Ia satu kejutan besar dan kami kini mencapai standard global. Kami melihat Arab Saudi dengan kemenangan mengejut menewaskan Argentina, jadi kami menunjukkan keupayaan Jepun dalam bola sepak Asia.

“Dari awal kami memutuskan untuk agresif, namun agresif Jerman nyata lebih tinggi. Ini tidak mengejutkan kami. Mereka mempunyai penjaga gol yang hebat seperti Neuer.

“Bagaimanapun skuad kami sangat berdisipilin, malah lebih bijak dan bermain dengan baik secara konsisten. Mereka berjuang dengan sungguh-sungguh sehingga wisel penamat,” kata Moriyasu.

Pada perlawanan Kumpulan E Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha, İlkay Gündogan terlebih dulu meletakkan Jerman kendalian Hansi Flick di depan pada minit ke-11.

Namun Jepun yang melakukan lima pertukaran pada separuh masa kedua kemudian bangkit di babak kedua menerusi dua pemain simpanan Ritsu Doan (75′) dan Takuma Asano (83′) untuk kemenangan 2-1.

Pada masa sama, Moriyasu menegaskan bahawa perkembangan positif skuadnya dipacu pengalaman para pemain yang bermain di Jerman dan England, termasuk pencetak gol kemenangan, Asano, yang bersama kelab Bundesliga Jerman, Bochum.

“Daripada enam pemain skuad kami, empat bermain di Bundesliga, dua dalam Liga Perdana Inggeris. Mereka berjuang dalam liga yang sangat sukar dan kompetitif.

“Di sana, mereka telah membina kekuatan mental dan fizikal mereka. Jadi dalam konteks itu, jika liga tersebut telah menyumbang kepada pembangunan pemain Jepun, saya amat menghormatinya dan sangat berterima kasih untuk pencapaian Jepun sehingga tahap ini,” kata Moriyasu.