am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Peningkatan kes jenayah seksual di Kelantan, dengan lebih 90 peratus laporan membabitkan hubungan seks suka sama suka, mencetuskan perdebatan sama ada undang-undang sedia ada mengendalikan kes sebegini secara adil.
Bagi kes hubungan seks suka sama suka antara remaja, peguam jenayah Salim Bashir berkata, walaupun prinsip rogol statutori adalah berdasarkan pemahaman bahawa gadis bawah umur tidak boleh memberi persetujuan yang sah kerana kekurangan kematangan, penggunaan standard ini secara eksklusif kepada gadis dan bukan kepada lelaki, yang mungkin berada pada tahap perkembangan mental dan seksual yang sama, boleh dilihat sebagai tidak adil.
“Persoalan penting yang timbul daripada cadangan Ketua Polis Kelantan, berikutan peningkatan kes rogol statutori, ialah sama ada adil untuk menghukum seorang kanak-kanak (merujuk remaja) kerana melakukan hubungan seks suka sama suka dengan kanak-kanak lain, tanpa wujudnya unsur paksaan.
“Ini adalah dilema yang rumit tanpa jawapan yang mudah. Menyingkirkan elemen paksaan daripada kes rogol statutori dan bergantung sepenuhnya pada usia gadis itu untuk membuktikan rogol mewujudkan anggapan bahawa hanya remaja lelaki yang mesti menanggung hukuman yang terlalu berat.
“Dalam konteks hari ini, mungkin tidak lagi sesuai untuk secara automatik melihat gadis bawah umur yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan remaja lelaki sebagai mangsa, dan bukannya sebagai peserta dalam perbuatan yang dipersetujui bersama,” kata bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia itu ketika dihubungi hari ini.
Salim menambah, walaupun undang-undang terus menganggap gadis bawah umur sebagai mangsa, keadilan dalam prosedur perbicaraan mesti tetap diberikan kepada remaja lelaki yang dituduh dalam kes rogol statutori.
Beliau menyatakan bahawa pada masa ini, Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan mengawal kesalahan rogol statutori, manakala Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak mengawal selia prosedur yang membabitkan testimoni daripada mangsa atau saksi kanak-kanak.
“Peruntukan tertentu dalam Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak [(Pindaan) 2024], khususnya Seksyen 6B, menjejaskan hak untuk perbicaraan yang adil dengan menyekat pemeriksaan balas. Tambahan pula, pindaan terkini yang menghapuskan keperluan untuk sokongan cerita mangsa dan mengetepikan ujian kecekapan menimbulkan kebimbangan tambahan.
“Kerajaan perlu menyemak semula perundangan sedemikian bagi memastikan keadilan dan hak sama rata untuk kanak-kanak yang dituduh,” katanya.
Semalam, polis Kelantan mencadangkan undang-undang sedia ada mengenai rogol statutori dikaji semula bagi memastikan tindakan undang-undang dikenakan secara adil kepada kedua-dua pasangan lelaki dan perempuan.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Yusoff Mamat membuat cadangan itu sebagai respons kepada peningkatan jumlah kes jenayah seksual di negeri itu, dengan lebih 90 peratus laporan membabitkan hubungan seks suka sama suka.
Katanya, kebiasaannya, hanya suspek lelaki yang didakwa.
“Buktinya ada, pengakuan ada, dan kebanyakan perbuatan ini berlaku atas dasar suka sama suka.
“Mengapa hanya lelaki yang perlu didakwa sedangkan perbuatan itu berlaku secara suka sama suka? Kami mahu membendung trend ini, dan kami juga mahu mereka yang terbabit, terutamanya remaja bawah umur, memahami keseriusan dan akibat daripada tindakan mereka,” katanya seperti yang dipetik.
Yusoff berkata di bawah undang-undang sedia ada, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, atau Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), bergantung pada usia mereka yang terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd
