Selangor singkir Kedah di pentas Piala Harapan

Selangor singkir Kedah di pentas Piala Harapan

Pemain KDA FC, Lee Tuck (tengah) dikawal ketat dua pemain Selangor FC pada aksi Piala Harapan 2023 di Batu Kawan, Pulau Pinang pada malam Khamis. FOTO KDA FC

HARAPAN penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk menyaksikan kelab itu bertemu Penang FC pada final Piala Harapan 2023 tidak kesampaian apabila Sang Kenari tewas 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Selangor FC selepas terikat tanpa jaringan pada masa sebenar pada malam Khamis.

Aksi tersebut yang bermula lewat setengah jam akibat hujan lebat di Stadium Negeri Pulau Pinang di Batu Kawan menyaksikan kedua-dua pasukan berbalas serangan namun buntu mencari jaringan sehingga tamat permainan.

Perlawanan KDA FC dan Selangor FC menarik perhatian ramai berikutan pertemuan kembali bekas jurulatih dan pemain di antara kedua-dua pasukan itu pada pra-musim 2023.

Pertembungan itu menyaksikan kembalinya Tan Cheng Hoe dan Ramon Marcote mengendalikan Gergasi Merah yang mana kedua-duanya pernah bersama melatih Kedah pada 2015.

Kelibat ketua jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain pula bertemu anak didiknya, Faisal Abdul Halim yang kini bersama Selangor FC juga mencuri perhatian kerana kedua-dua berjaya mencipta sensasi di Terengganu FC beberapa musim lalu.

Sang Kenari bakal bertemu pasukan dari Singapura, Geylang United bagi penentuan ketiga dan keempat Piala Harapan 2023 pada petang Sabtu.

Penang FC yang menang pada aksi pertama selepas membelasah Geylang United 4-0 akan menentang Selangor FC bagi penentuan juara Piala Harapan 2023 pada malam Sabtu.