Selangor tidak akan pecat Pan-gon

Selangor tidak akan pecat Pan-gon

PENGURUSAN Selangor FC mengesahkan jawatan pengendali pasukan, Kim Pan-gon kekal selamat dan beliau akan terus menerajui skuad Gergasi Merah bagi saingan Liga Malaysia musim depan.

Jaminan itu diberikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon yang menyifatkan pengendali kelahiran Korea Selatan itu telah berjaya membawa perubahan positif meskipun hanya mula mengendalikan pasukan pada pertengahan musim.

Menurut Johan, pihak pengurusan melihat prestasi semasa sebagai satu proses kemajuan yang sedang dilalui oleh pasukan.

“Kita memang mengharapkan untuk menamatkan saingan di kedudukan yang lebih baik tahun ini. Setakat ini, kita tewas dalam dua aksi separuh akhir dan gagal ke final.

“Ini adalah sesuatu yang perlu kita lihat semula. Saya percaya Pan-gon dan barisan kejurulatihannya akan bekerja keras untuk menilai, memahami dan mencari penyelesaian supaya kami dapat beraksi lebih baik tahun depan.

“Tahun ini memang mencabar kerana kita mempunyai tiga jurulatih berbeza. Bermula dengan Katsuhito Kinoshi, kemudian Christophe Gamel sebagai interim, sebelum Pan-gon mengambil alih pada pertengahan musim.

“Bukan tugas mudah buat beliau untuk datang pada saat liga sedang berjalan dengan barisan pemain sedia ada dan terus mencapai keputusan yang luar biasa,” katanya.

Untuk saingan musim ini, Selangor terlepas dua aksi final iaitu Piala FA dan Piala Malaysia selepas perjalanan mereka terhenti di peringkat separuh akhir.

Namun, Selangor masih mempunyai peluang untuk cuba mendapatkan sekurang-kurangnya satu Piala apabila perjuangan mereka dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN masih belum berakhir dan mereka akan beraksi pada aksi separuh akhir menentang kelab Vietnam, Nam Dinh FC bulan depan.

Selain itu, saingan Liga Super yang berbaki tiga perlawanan juga menyaksikan tentangan sengit dengan Selangor berada di kedudukan ketiga liga berkongsi mata dengan Kuching City FC di kedudukan kedua dengan pasukan Borneo itu bermain kurang satu perlawanan.

Bagaimanapun, rekod kemenangan Pan-gon dilihat cukup cemerlang dengan hanya satu kekalahan dalam 16 perlawanan sejak mengambil alih Selangor FC.

 

Dalam pada itu, Johan mendedahkan bahawa rata-rata pemain Selangor FC memberikan maklum balas positif dan berpuas hati dengan corak kepimpinan yang dibawa oleh bekas pengendali Harimau Malaya itu.

Tegasnya, fokus pasukan kini adalah untuk menamatkan baki tiga perlawanan liga dengan pungutan mata maksimum bagi memastikan kedudukan terbaik dalam carta.

“Kami masih ingin mengakhiri musim ini dengan kuat. Pan-gon juga kini sedang memfokuskan kepada perlawanan penting yang berbaki termasuk saingan Kejuaraan Kelab ASEAN.

“Apa yang pasti, beliau akan dikekalkan,” ujarnya.

Scroll to Top