am@hmetro.com.my
Putrajaya: Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony, gagal dalam permohonan semakan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya atas kesalahan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.
Dengan keputusan itu, sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi serta Mahkamah Rayuan terhadap Peter, dengan ini adalah kekal.
Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, mula menjalani hukuman penjara itu pada 4 Mac lalu selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan akhirnya pada 4 Mac lalu.
Pada prosiding semakan hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak permohonan itu selepas mendapati tiada sebarang pelanggaran terhadap prinsip asas yang memastikan keputusan kes berkenaan dibuat dengan adil, tanpa berat sebelah, dan dengan memberi peluang yang wajar kepada pihak terbabit untuk didengar.
Panel yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Azman Abdullah mendapati, Peter telah diberikan hak untuk didengar dalam rayuannya dan tiada merit dalam permohonan semakan berkenaan.
“Anggapan kami telah disokong oleh alasan penghakiman penuh panel Mahkamah Rayuan di mana isu berkenaan telah dibincangkan dengan teliti.
“Adalah bukan tugas mahkamah untuk mendengar keterangan dan fakta yang telah diputuskan.
“Tiada berlaku ketidakadilan kerana pemohon telah diberikan hak untuk didengar dan kami mendapati tiada merit dalam permohonan ini. Permohonan ini dengan itu ditolak,” katanya.
Turut bersidang Hakim Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz.
Melalui permohonan notis usul semakan bersama afidavit sokongan yang difailkan pada 14 Mac lalu, Peter menamakan Pendakwa Raya sebagai responden.
Berdasarkan notis usul itu, beliau memohon mahkamah mengkaji semula dan mengetepikan sabitan serta hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan pada 4 Mac lalu bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
Selain itu, Peter turut memohon pembatalan waran mempenjarakan bertarikh 4 Mac lalu yang dikeluarkan kepada Penjara Kajang terhadap beliau, serta apa-apa perintah berbangkit bagi memastikan keadilan kes berkenaan.
Sementara itu, panel turut mendengar hujahan kedua-dua pihak berhubung isu baharu iaitu laporan polis yang dibuat oleh saksi pendakwaan ketiga, Mohd Shukor Mohd Din yang menjadi subjek dalam permohonan semakan itu.
Laporan pada 9 Ogos 2018 antara lain menyatakan, kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 20 Julai 2017, adalah tidak benar kerana ia dibuat di bawah tekanan bagi mengaitkan Peter dengan pertuduhan tersebut.
Bagaimanapun, Azman dalam penghakiman panel berkata, ketiadaan laporan polis dalam penghakiman ringkas panel terdahulu yang menolak rayuan Peter pada 4 Mac lalu, tidak menyebabkan berlakunya salah laksana keadilan.
Beliau berkata, isu berkaitan laporan itu sudah diulas dalam penghakiman penuh bertarikh 1 Ogos lalu, oleh itu ketiadaan isu berkenaan dalam penghakiman ringkas, tidak menyebabkan berlakunya salah laksana keadilan.
“Isu laporan polis itu telah dibincang dengan teliti. Hanya kerana ia tidak dinyatakan dalam penghakiman ringkas, sukar untuk membuat anggapan bahawa ia tidak dipertimbangkan oleh panel terdahulu.
“Bukan tugas kami untuk mendengar kembali persoalan yang membabitkan keterangan dan fakta yang telah diputuskan oleh panel sebelum ini,” katanya.
Peter diwakili peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Datuk Rosal Azimin Ahmad manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bertindak bagi pihak Pendakwa Raya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
