Kerajaan Negeri setuju tiada lagi beg plastik

PUTRAJAYA – Semua Kerajaan Negeri bersetuju kempen ‘Tiada Beg Plastik’ bagi meningkatkan penghayatan gaya hidup hijau dalam kalangan rakyat Malaysia.
Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad dalam kenyataannya memaklumkan, persetujuan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-76, semalam.
Katanya, usaha tersebut selaras dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018 – 2030 untuk mengurangkan pencemaran plastik sekali guna dan beralih kepada alternatif lebih mesra alam.
Menurutnya, pelaksanaan kempen itu akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama bermula Disember 2020 hingga 2021 dan pelaksanaannya tertumpu kepada premis kekal iaitu pasar raya hiper, pasar raya besar, pasar raya serbaneka, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai serbaneka stesen minyak, kedai rangkaian serta farmasi.
“Manakala, fasa kedua pula iaitu 2022 – 2025 diperluaskan kepada jenis premis perniagaan lain termasuk kedai runcit, pasar basah, pasar malam, pasar tani dan sebagainya.
“Caj minimum 20 sen akan dikenakan setiap beg plastik yang diberikan kepada pelanggan di kaunter berpandukan prinsip ‘user-pay-principal’ untuk menghindari penggunaan plastik sekali guna,” katanya.
Difahamkan, kutipan itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk digunakan bagi aktiviti kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat.
Justeru, KASA akan bekerjasama dengan semua kerajaan negeri dan PBT dalam usaha gerak kerja pelaksanaan kempen ini termasuk memberi penerangan dan kesedaran kepada orang ramai mengenai keperluan menghindari penggunaan plastik sekali guna.
“Orang ramai adalah digalakkan untuk membawa beg guna semula semasa membeli-belah dalam usaha bersama melestarikan alam sekitar,” katanya.
Setakat ini, Lembah Klang melaksanakan tiada beg plastik manakala Pulau Pinang menetapkan tiada beg plastik setiap Isnin.

ZA137 Malay News
National Desk