MOSCOW: Pegawai Russia semalam menyifatkan penemuan semua 18 penumpang dan kru sebuah pesawat yang membuat pendaratan cemas di Siberia dalam keadaan selamat, sebagai satu keajaiban.
Pejabat Gabenor Sergei Zhvachkin memaklumkan, pesawat An-28 dikendalikan Penerbangan Ringan Siberia (SiLA) itu sedang dalam perjalanan dari bandar Kedrovy menuju ke Tomsk, sebelum komunikasi terputus.
Kementerian bencana Russia kemudian mengumumkan pesawat itu ditemui selepas terpaksa membuat pendaratan cemas, dan mangsa terselamat dikesan.
Agensi penerbangan itu memaklumkan, pesawat terbabit ditemui 155 kilometer dari lapangan terbang kecil di Tomsk.
Pejabat Zhvachkin kemudian memaklumkan semua penumpang, termasuk tiga anak kapal, ditemui dalam keadaan selamat dan pihak perubatan ‘merekodkan mereka hanya mengalami lebam dan luka’.
“Kita semua percayakan keajaiban. Atas sikap profesionalisme juruterbang, keajaiban itu menjadi kenyataan. Mereka semua selamat,” katanya.
Gambar berkaitan insiden itu yang tersebar di media sosial menunjukkan pesawat berkenaan berada dalam keadaan terbalik, dengan tanah memenuhi ruangan kabin, selain bahagian depan pesawat musnah.
Seorang daripada juruterbang pesawat itu, Farukh Khasanov, memaklumkan kedua-dua enjin kapal terbang terbabit tidak berfungsi.
“Kami tiada masa untuk berfikir panjang, kami perlu menjalankan tugas. Kami semua selamat, itu yang penting,” katanya seperti dilaporkan agensi berita TASS.
Zhvachkin berkata, semua penumpang dan anak kapal akan dibawa ke Tomsk dan akan dirawat di sana.
Bagaimanapun, agensi berita Interfax yang memetik seorang pegawai tempatan melaporkan, enam mangsa enggan menaiki helikopter dari lokasi nahas ke Tomsk, sebaliknya akan menaiki bas mini ke sana. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




