SHAH ALAM – Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) menegaskan semua platform e-hailing, penghantaran dan perkhidmatan gig perlu mengamalkan syor Tribunal Pekerja Gig (TPG) bagi memastikan hak serta kebajikan pekerja dalam sektor berkenaan terus dilindungi.Presiden TPAD, M Nathan berkata, syor yang dikemukakan tribunal itu tidak seharusnya terhad kepada GrabCar Sdn Bhd, sebaliknya perlu dijadikan panduan oleh semua platform yang mempunyai amalan serupa tanpa perlu menunggu kes difailkan.Menurutnya, dua keputusan berasingan tribunal dalam kes melibatkan GrabCar telah menunjukkan bagaimana peruntukan Seksyen 8 Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872] ditafsirkan, sekali gus membuktikan undang-undang itu terpakai kepada semua entiti kontrak dan platform gig.”GrabCar mesti melaksanakan syor tribunal. Award mengikat pihak-pihak dan kegagalan mematuhinya dalam tempoh yang dinyatakan ialah kesalahan di bawah Seksyen 45. Syor di bawah Subseksyen 42(3) pula ialah jalan pematuhan yang telah ditunjukkan oleh tribunal.”TPAD akan membantu dan mewakili ahli TPAD memfailkan tuntutan kewangan terhadap mana-mana platform yang melanggar seksyen yang sama. Platform enggan membetulkan amalan telah dinyatakan tribunal sebagai pelanggaran menanggung risiko tuntutan pampasan dan faedah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Seruan itu dibuat susulan keputusan TPG dalam tiga kes membabitkan syarikat e-hailing, GrabCar Sdn Bhd seperti yang dimaklumkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).Mengulas lanjut, Nathan memberitahu, tribunal mendapati pengendalian mekanisme Auto-Accept dan Fast Cancel dalam platform GrabCar bagi kes pertama melanggar Subseksyen 8(1)(b) dan (c) Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).Menurutnya, tribunal turut membenarkan sebahagian tuntutan kewangan berkaitan tempahan Saver, selain memberikan ganti rugi RM2,000 dan faedah lapan peratus setahun sehingga penyelesaian penuh.”Bagi kes kedua, tribunal mendapati tiga pelanggaran Akta 872 iaitu Temporary Booking Pause, kuota pembatalan dan Auto-Accept, selain merekodkan tujuh syor penambahbaikan di bawah Subseksyen 42(3),” ujarnya.Beliau menambah, dalam kes ketiga, tribunal memutuskan penyahaktifan kekal akaun seorang pemandu adalah wajar selepas tiga kejadian salah laku terhadap penumpang dibuktikan.Justeru, Nathan berkata, GrabCar digesa melaksanakan tujuh syor penambahbaikan yang dikemukakan tribunal bagi memastikan amalan pengendalian platform lebih telus dan adil kepada pekerja gig.Menurutnya, semua platform pula diseru melaksanakan tujuh amalan penambahbaikan termasuk menjelaskan syarat penggantungan tempahan, kuota pembatalan, perubahan destinasi, sistem Auto-Accept, pengiraan tambang serta mekanisme aduan dan sokongan kepada pekerja gig.”TPAD tidak menentang mana-mana platform. Kami menuntut ketelusan, kawalan dan keadilan untuk pemandu, sambil menghormati keselamatan penumpang.”Tribunal telah menunjukkan jalannya. Sekarang tiba masa semua platform membetulkan amalan mereka, sebelum pemandu terpaksa membawanya ke tribunal satu demi satu,” katanya.
Semua platform e-hailing, gig perlu amal syor Tribunal Pekerja Gig – TPAD