harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang lagi pegawai penguat kuasa ditahan bersama rampasan pelbagai aset dan wang tunai berjumlah RM200,000 selain pembekuan sembilan akaun syarikat bernilai lebih RM2.7 juta.
Menurut sumber, wanita berusia 40-an yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.
“Suspek disyaki bersekongkol dengan sindiket di mana membabitkan rasuah sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukan warga asing ke negara ini tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Tangkapan terhadap suspek ini susulan Op Rentas yang dijalankan serentak di empat negeri oleh Bahagian Perisikan SPRM pada Selasa lalu,” katanya.
Sumber berkata, suspek berkenaan ditahan di pejabat SPRM Kuala Lumpur, di sini, 10 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.
Difahamkan, SPRM menyita pelbagai aset antaranya kereta, motosikal, barang kemas, kepingan emas, peranti telekomunikasi, beg tangan dan jam tangan termasuk wang tunai.
Suspek berkenaan kini direman lima hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek.
© New Straits Times Press (M) Bhd




