New York: Teknik sepakan penalti ‘paradinha’ kembali mencuri perhatian pada Piala Dunia 2026 apabila beberapa bintang ternama seperti Lionel Messi, Kylian Mbappe, Cristiano Ronaldo, Harry Kane dan Neymar memilih menggunakannya dalam situasi genting.
Teknik yang menampilkan larian perlahan dengan gerakan seolah-olah berhenti sebelum menyepak bola itu mampu membuatkan pemain kelihatan hebat jika berjaya, namun turut mengundang rasa kecewa apabila gagal.
Sepanjang kejohanan kali ini, teknik itu memberikan keputusan yang berbeza kepada pemain yang menggunakannya.
Perancis berjaya mara ke suku akhir hasil sepakan penalti yang disempurnakan dengan teknik berkenaan, manakala Brazil pula tersingkir selepas gagal memanfaatkannya.
Messi sendiri pernah gagal menyempurnakan sepakan penalti menggunakan teknik itu apabila percubaannya ketika aksi peringkat kumpulan tersasar daripada sasaran.
Bagi Neymar pula, sepakan penalti yang berjaya disempurnakan menggunakan teknik itu menjadi jaringan terakhirnya di pentas antarabangsa.
Teknik ‘paradinha’, yang bermaksud “henti kecil” dalam bahasa Portugis, dipercayai mula diperkenalkan di Brazil sekitar penghujung 1950-an dan awal 1960-an sebelum dipopularkan legenda bola sepak, Pele.
Neymar kemudian menghidupkan semula teknik itu ketika awal kemunculannya bersama Santos sehingga pernah dianggap sebagai pewaris Pele.
Pada 2010, ketika berusia 18 tahun, Neymar mencetuskan kontroversi apabila hampir berhenti sepenuhnya sebelum menyepak bola, sekali gus memaksa penjaga gol menjatuhkan badan lebih awal sebelum mudah menyempurnakan penalti.
Insiden itu mendorong badan penggubal undang-undang bola sepak mengubah peraturan dengan melarang pemain berpura-pura ketika hendak menyepak bola selepas melengkapkan larian, selain memperuntukkan kad kuning serta membatalkan jaringan jika peraturan itu dilanggar.
Peraturan kemudian diperhalusi dengan pemain masih dibenarkan memperlahankan larian atau melakukan gerakan mengelirukan sepanjang larian menuju bola, tetapi tidak selepas larian itu selesai sebelum melakukan sepakan.
Matlamat utama teknik itu adalah mengelirukan penjaga gol supaya membuat terjahan lebih awal, sekali gus membuka ruang lebih mudah untuk menjaringkan gol.
Pensyarah di Sekolah Sains Sukan Norway, Geir Jordet, menyifatkan teknik berkenaan sebagai antara kaedah penalti paling sukar untuk dilaksanakan.
“Ia sangat rumit dan sukar dilakukan ketika tekanan memuncak. Jika seseorang pemain benar-benar mahir menggunakan teknik ini, risiko penjaga gol meneka arah sepakan dengan tepat dapat dikurangkan.
“Namun, pemain perlu memiliki tahap fokus dan ketenangan mental yang sangat tinggi untuk melaksanakannya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




