PADA tahun 2022, kisah menyentuh hati mengenai Rohana Abdullah, seorang gadis Muslim yang dibesarkan oleh ibu angkat berbangsa Cina, Chee Hoi Lan, menarik perhatian ramai.
Hoi Lan yang bukan beragama Islam dengan penuh kasih sayang membesarkan Rohana sejak bayi, memastikan dia mendapat pendidikan agama Islam dan makanan halal.
Pengorbanan pesara guru tadika itu yang tidak mementingkan diri sendiri itu menjadi contoh teladan dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
Dalam kehidupan seharian, sikap mementingkan diri sering kali menjadi punca keretakan hubungan dan ketegangan dalam masyarakat, sekali gus menjadi musuh pengorbanan sejati.
Malah, sifat itu juga bertentangan dengan semangat pengorbanan yang ditonjolkan dalam kisah Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS yang menjadi asas sambutan Hari Raya Aidiladha.
Dari satu sudut, sikap mementingkan diri itu bukan hanya melibatkan perkara besar, tetapi juga dalam urusan harian seperti tidak mahu menolong, enggan menyumbang atau mengabaikan tanggungjawab bersama. Lebih membimbangkan, perilaku seperti itu semakin dianggap normal.
Adakah pentingkan diri sendiri itu salah sepenuhnya dalam Islam? Apakah sempadan antara menjaga diri dan mengabaikan orang lain?
Boleh undang dosa
Sinar Islam Plus melontarkan persoalan itu kepada Eksekutif Pusat Islam dan Kebudayaan, Management and Science University (MSU), Ustaz Mohamad Omar Mansu.

USTAZ MOHAMAD OMAR
Beliau memulakan kalamnya dengan menyentuh perihal Islam yang bersifat syumul (menyeluruh), bukan hanya membabitkan hubungan dengan diri sendiri, tetapi turut melibatkan masyarakat dan pembinaan negara.
Dalam konteks kepentingan peribadi menurut Islam, jelasnya, ada keadaan yang membolehkan seseorang mengutamakan diri sendiri seperti demi keselamatan fizikal, kesihatan mental atau tekanan hidup.
“Sebagai contoh, (seseorang) boleh pentingkan diri jika keselamatannya terjejas jika terlalu banyak bergaul, sama ada dari sudut pekerjaan atau keluarga. Maka, dibolehkan memencilkan diri.
“Mungkin juga kerana tekanan pejabat dan beban lain, dia perlu bersendiri supaya kesihatannya terjamin dan beribadah dengan tenang, tetapi bukan bermaksud boleh begitu sepanjang masa.
“Ada waktu-waktu tertentu seperti Hari Raya Aidiladha, kita perlu terlibat dengan masyarakat,” katanya.
Namun begitu, beliau menegaskan, sikap mementingkan diri secara berlebihan sehingga menyusahkan orang lain atau mengabaikan hak masyarakat tanpa sebab adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh mengundang dosa.

SIKAP pentingkan diri yang boleh membawa kepada kesombongan dan rasa lebih baik daripada orang lain sangat ditegah dalam Islam. -Foto: CANVA
Pendakwah itu turut mengingatkan, sifat pentingkan diri yang boleh membawa kepada kesombongan dan rasa lebih baik daripada orang lain (kibir) sangat ditegah dalam Islam.
“Jika seseorang pencilkan diri terlalu lama pun, dibimbangi orang itu tidak tergolong dalam kelompok yang akan masuk syurga dengan selamat.
“Dalam hadis riwayat At-Tirmizi, Nabi Muhammad SAW mengingatkan umatnya supaya sebarkan salam, menjamu makan, hubungkan silaturahim dan kerjakan solat waktu malam saat manusia sedang tidur. Jika kita lakukan empat perkara ini, ganjaran syurga menanti,” terangnya.
Wasatiyyah tunjang keseimbangan
Sebagaimana hak diri perlu dijaga, demikian dengan hak orang lain.
Dalam Islam, ujar Ustaz Mohamad Omar, konsep wasatiyyah (keseimbangan) antara hak individu dan tanggungjawab sosial sangat ditekankan sebagaimana disebut ALLAH SWT dalam surah an-Nisa’ ayat ke-36.
Justeru ujar beliau, Aidiladha adalah masa terbaik untuk hidupkan semangat kebersamaan dan pengorbanan.
Menurutnya, hikmah di sebalik kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan keluarganya sarat dengan ketaatan seorang hamba kepada ALLAH SWT melebihi diri dan segala-galanya.
“Dalam solat, ada rukun dan keredaan kepada ALLAH. Begitu juga dalam Aidiladha, kita latih empati terhadap mereka yang kurang bernasib baik. (Aktiviti) gotong-royong, memberi daging korban dan menyantuni mereka yang memerlukan mendidik jiwa agar tidak mementingkan diri.
“Jika kita laksanakan ibadah korban dan haji, ia menuntut bayaran, masa dan tenaga. Semua itu bentuk pengorbanan diri demi kepentingan ummah,” katanya.

SELAMI hikmah di sebalik kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan keluarganya sarat dengan ketaatan seorang hamba kepada ALLAH SWT melebihi diri dan segala-galanya.
Beliau turut menegaskan betapa pentingnya menanam sifat empati, kasih sayang dan ihsan terhadap jiran, keluarga serta masyarakat.
Mengulas sikap segelintir segelintir masyarakat yang mementingkan diri dengan alasan ‘kubur masing-masing’, beliau memberi peringatan: “Jangan sampai pentingkan diri hingga melampaui batas.”
Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan bahawa umat Islam dituntut untuk mengambil tahu isu ummah seperti Palestin dan membantu semampu mungkin.
“Mengabaikan urusan umat hanya kerana rasa ‘bukan urusan aku’ adalah bercanggah dengan semangat persaudaraan Islam,” tegasnya.

JAUHI sikap mementingkan diri secara berlebihan sehingga menyusahkan orang lain atau mengabaikan hak masyarakat tanpa sebab adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh mengundang dosa.