nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Kemasukan bekalan dadah ke Kelantan kini dipercayai banyak menggunakan laluan laut susulan pangkalan haram ditutup dan kawalan di sempadan dipertingkat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata ia berikutan laluan laut begitu luas dan kekangan dari segi penguatkuasaan.
“Hasil pemantauan berkaitan kemasukan bekalan dadah, sindiket kini memilih laluan laut kerana ia begitu luas dan terbuka.
“Memang kita ada Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), namun bot mereka terhad dan laluan laut pula luas.
“Bayangkan bermula Pulau Tengkorak di Pengkalan Kubor sehingga Besut, Terengganu, ia begitu luas dan terdedah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Maritim Malaysia bahawa sistem radar Remote Sensored Site (RSS) Swasla akan dipasang di Pulau Tengkorak.
“Dengan adanya radar berkenaan memudahkan pihak berkuasa untuk mengesan sebarang pergerakan termasuk kegiatan pengedaran dadah,” katanya.
Dalam perkembangan lain Mohd Yusoff berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand sama ada tentera atau polis bagi mengekang sebarang kegiatan rentas sempadan.
“Kita sentiasa bekerjasama untuk menangani sebarang isu jenayah termasuk dadah dan senjata. Begitu juga ketika mesyuarat dengan pihak berkuasa Thailand di Hatyai baru-baru ini kita turut berkongsi maklumat dan membincangkan isi berkenaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




