Sistem pembelajaran robotik, pencetak 3D di SRBJ

Sistem pembelajaran robotik, pencetak 3D di SRBJ

JOHOR BAHRU: Sistem pembelajaran di Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) akan diperkasakan dengan menggunakan pelbagai teknologi moden termasuk pencetak 3D, Arduino, robotik dan sistem autonomi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, usaha itu bagi memperkasa ekosistem pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di sekolah berkenaan.

Beliau berkata, penyediaan kemudahan berteknologi tinggi itu merupakan antara fokus utama dalam memastikan pelajar bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi digital.

“Kerajaan Negeri akan terus memperkasa ekosistem STEM melalui penyediaan pelbagai kemudahan pembelajaran seperti pencetak 3D, Arduino, robotik dan sistem autonomi.

“Inisiatif ini bertujuan menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif, berasaskan penerokaan, penyelesaian masalah dan pembangunan inovasi bagi memupuk budaya berfikir secara kreatif dan kritis dalam kalangan murid,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 4, Masai, di sini hari ini.

Menurut Muhammad Naqib, inisiatif tersebut akan menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif menerusi pendekatan berasaskan penerokaan, penyelesaian masalah serta pembangunan inovasi.

“Penggunaan teknologi moden di dalam bilik darjah bukan sekadar meningkatkan minat murid terhadap STEM, malah membantu membentuk budaya berfikir secara kreatif, kritis dan inovatif.

“Pelajar SRBJ telah buktikan kemampuan mereka apabila berjaya meraih pelbagai pengiktirafan dalam pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antara pencapaian membanggakan ialah kejayaan murid SMK Seri Kota Puteri 2 meraih Pingat Emas SAFEATHON 2026 di Universiti Teknologi Malaysia menerusi pertandingan inovasi berkaitan keselamatan,” katanya.

Tambah beliau, sekolah sama turut mengharumkan nama Johor apabila memenangi Anugerah Inovasi Idea Terbaik pada Japan Youth Summit 2026 menerusi projek Craytion, iaitu inovasi krayon mesra alam berasaskan minyak masak terpakai dan pewarna semula jadi untuk terapi sensori kanak-kanak autisme.

“SRBJ turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Harvard University menerusi Program for Scientifically Inspired Leadership (PSIL) yang bakal memberi manfaat kepada 100 murid melalui pendedahan kepada pendidikan bertaraf antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top