Siti Sarah masuk ICU

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Siti Sarah Raisuddin dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Unversiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) akibat Covid-19 hari ini.

Suaminya, Shuib memaklumkan perkara itu dan berkata, tahap oksigen Siti Sarah semakin tidak stabil.

Isterinya itu kini sarat mengandung tujuh bulan.

“Pagi tadi isteri saya telah dimasukkan ke ICU disebabkan oksigen yang tidak berapa stabil dan keadaan dia yang tidak berapa baik,” kata Shuib dalam satu hantaran dalam Instagramnya hari ini.

Shuib memohon keberkatan hari Jumaat untuk peminat dan orang ramai mendoakan kesembuhan buat isterinya.

“Saya mohon di hari baik, hari Jumaat doakan Sarah dan anak dalam kandungan. Semoga dipermudahkan urusan dan semoga Allah memberi kekuatan untuk mereka. Semoga Allah merahmati kita semua,” tulis Shuib.

Pada Rabu lalu, Sarah atau nama sebenarnya Siti Sarah Raisuddin, 37, dikejarkan ke HUKM berikutan tahap oksigen yang semakin menurun.

Terdahulu, Sarah dan Shuib sekeluarga positif Covid-19 sejak 25 Julai lalu selepas pembantu rumah mereka disahkan positif pandemik berkenaan.

Mereka sekeluarga menjalani ujian saringan selepas pembantu rumah disahkan positif virus berbahaya tersebut. – MalaysiaGazette