KONFIDERASI Hoki Malaysia (KHM) mengesahkan skuad lelaki dan wanita akan berada dalam Program Podium sehingga Januari depan sebagai persediaan menghadapi aksi kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.
Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, adalah penting bagi skuad Speedy Tigers dan Malaysian Tigress menampilkan aksi terbaik untuk menempah slot beraksi pada temasya itu kerana Majlis Sukan Negara (MSN) akan menilai semula kedudukan mereka dalam program berkenaan selepas kelayakan tersebut berakhir.
“Alhamdullilah kita berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara kerana dalam perbincangan bersama Ketua Pengarah MSN Abdul Rashid Yaakub, pasukan lelaki memang dalam Program Podium (sejak 2017) namun wanita tidak, tetapi kita merayu dan dipersetujui dalam mesyuarat.
“Pasukan wanita sepatutnya hanya dalam Program Podium dari Jun hingga Oktober 2023 ketika persediaan ke Sukan Asia Hangzhou 2022, tetapi diberi peluang sama macam kumpulan lelaki sehingga Kelayakan Olimpik pada Januari depan. Pasti (program podium akan dinilai semula) selepas aksi kelayakan bergantung kepada outcome,” katanya.