sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki dan wanita akan dikekalkan dalam Program Podium sehingga tamat pusingan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 pada Januari depan, sekali gus melegakan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).
Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub, hari ini, MSN bersetuju untuk terus memberi sokongan kepada MHC bagi mempersiapkan pasukan lelaki dan wanita negara yang akan berjuang memburu tiket ke Paris 2024 nanti.
Subahan mengakui gembira apabila pasukan wanita diberikan peluang untuk terus berada dalam Program Podium.
“Untuk skuad wanita sebenarnya tamat (Program Podium) pada Oktober lalu selepas Sukan Asia Hangzhou. Namun, selepas kami merayu dan Alhamdulillah ia dipersetujui untuk diteruskan sehingga pusingan kelayakan.
“Kami berterima kasih kepada MSN kerana selepas perbincangan, skuad lelaki dan wanita masih dikekalkan dalam Program Podium sehinggalah pusingan kelayakan pada Januari,” katanya.
Subahan berkata, keputusan di kelayakan Olimpik awal tahun depan akan menjadi penentu sama ada pasukan lelaki dan wanita dikekalkan atau sebaliknya di dalam Program Podium.
Menurutnya, pihaknya sudah memohon kepada MSN agar badan induk itu diberikan peruntukan tambahan bagi mempersiapkan kedua-dua pasukan menghadapi pusingan kelayakan ke Olimpik.
Skuad lelaki akan beraksi di Muscat, Oman dari 15 hingga 21 Januari depan manakala pasukan wanita akan menyertai saingan di Valencia, Sepanyol dari 14 hingga 24 Januari.
Pasukan lelaki negara diundi dalam Kumpulan A bersama Great Britain, Pakistan dan China manakala skuad wanita yang berada dalam Kumpulan B akan berentap dengan Great Britain, Sepanyol, Korea Selatan, Ireland, Kanada dan Ukraine.
© New Straits Times Press (M) Bhd




