
Pesawat syarikat penerbangan Israir berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion di pinggir Tel Aviv, Israel, pada 25 Ogos 2024. Gambar fail. Foto: Yossi Aloni/Flash90.
LJUBLJANA – Sebuah pesawat penumpang milik syarikat penerbangan Israel, Israir Airlines, dilaporkan tidak dibenarkan mendarat di Lapangan Terbang Ljubljana oleh pihak berkuasa Slovenia pada Rabu, menyebabkan penerbangan itu terpaksa dialihkan ke negara jiran, Croatia.
Menurut laporan media Israel, pesawat berkenaan telah menghampiri ibu negara Slovenia sebelum pengawal trafik udara enggan memberikan kebenaran untuk mendarat.
Ketua Pegawai Eksekutif Israir, Uri Sirkis menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran jelas terhadap perjanjian penerbangan Kesatuan Eropah (EU).
Beliau mendakwa pihak berkuasa Slovenia kini enggan menerima penerbangan syarikat Israel susulan pendirian politik negara itu terhadap kerajaan Tel Aviv.
Kementerian Luar Israel mengecam tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai keputusan yang sama sekali tidak boleh diterima.
Insiden itu berlaku ketika hubungan antara kedua-dua negara berada pada tahap tegang berikutan pendirian Slovenia terhadap konflik di Gaza.
Kerajaan Slovenia sebelum ini mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dan antara negara Kesatuan Eropah yang paling lantang mengkritik operasi ketenteraan Israel di Gaza.
Bagaimanapun, landskap politik negara itu dijangka berubah selepas bekas Perdana Menteri, Janez Janša, yang dikenali sebagai penyokong kuat Israel, dipilih semula untuk menerajui kerajaan baharu. – Agensi



