sukan@hmetro.com.my
Seremban: Skuad ragbi Sekolah Menengah Kebangsaan King George V (SMKGV) Seremban berhasrat untuk tampil lebih hebat bagi mempertahankan reputasi pada Kejohanan Ragbi TD-Mesra 10 Sebelah Kebangsaan 2025, yang akan berlangsung di padang SMK Telok Datuk Banting, Selangor, pada 27 dan 28 April ini.
Penyelaras sukan ragbi SMKGV, Aiman Haqim Rashid berkata, pihaknya menyasarkan untuk mara ke pentas final pada kejohanan yang julung kali diadakan membabitkan pasukan bawah 15 tahun itu.
Katanya, meskipun menjangkakan cabaran yang bakal dihadapi nanti adalah sengit kerana membabitkan beberapa pasukan handalan, namun pasukan itu sudah bersedia dari segala aspek fizikal dan mental untuk mendominasi saingan.
“Keseluruhan terdapat 20 pasukan akan mengambil bahagian dalam kejohanan ini di mana SMKGV diletakkan dalam Kumpulan B yang akan membabitkan pasukan SMK Sungai Pusu, SMK La Salle dan SMK Telok Panglima Garang.
“Kami berharap dapat melepasi saingan peringkat kumpulan dengan baik dan seterusnya berjaya mengharungi cabaran peringkat kalah mati sehingga ke final,” katanya di sini, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




