Sofia Rini didakwa atas pertuduhan fitnah hari ini

Sofia Rini didakwa atas pertuduhan fitnah hari ini

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ahli perniagaan, Sofia Rini Buyong akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan fitnah.

Prosiding pendakwaan dijangka berlangsung pada jam 9 pagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar mengesahkan perkara itu ketika dihubungi.

“Ya, Sofia Rini akan didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” katanya.

Seksyen 500 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan memfitnah, jika sabit kesalahan.

Untuk rekod, Sofia Rini sebelum ini pernah disiasat polis berhubung beberapa rakaman video tular membabitkannya.

Antaranya, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengambil alih siasatan terhadap klip video perbualan antara Sofia Rini dengan ahli perniagaan, Albert Tei.

Klip berkenaan didakwa mengandungi tohmahan berunsur fitnah terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Siasatan ketika itu dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana salah guna kemudahan rangkaian.

Dalam siasatan berasingan, Sofia Rini ditahan SPRM pada November tahun lalu bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Albert.

Dia direman selama empat hari sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM.

SPRM kemudian mengklasifikasikan Sofia Rini sebagai saksi pendakwaan dalam kes berkenaan dan dia tidak didakwa bersama Shamsul Iskandar serta Albert.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top