Speedy Tigers pilih jalan sukar

Speedy Tigers pilih jalan sukar
Speedy Tigers pilih jalan sukar

Pemain tengah Speedy Tigers, Syafiq Hassan diasak pemain Pakistan, Rana Waleed dalam aksi kedua Kumpulan B pada Isnin. Foto: FIH

SKUAD hoki lelaki kebangsaan memilih laluan sukar dalam misi untuk melangkah ke separuh akhir kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 di Ismailia, Mesir.

Selepas mempamerkan aksi meyakinkan dengan membelasah Austria 6-1 dalam perlawanan pembukaan pada Ahad, rentak garang Speedy Tigers terhenti apabila tumpas 3-5 kepada Pakistan sehari kemudian.

Keputusan itu meletakkan anak buah Sarjit Singh dalam tekanan menjelang perlawanan terakhir Kumpulan B menentang China di Stadium Suez Canal Authority malam ini.

“Sebenarnya kami memiliki peluang untuk memenangi perlawanan tetapi kesilapan sendiri menghadiahkan gol mudah kepada Pakistan.

“Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah memperkemas aspek pertahanan dan mengurangkan kesilapan.

“Tiada pilihan lain, kami perlu menewaskan China untuk memastikan tempat ke kelompok empat terbaik,” kata Sarjit.

China bukan lawan yang boleh dipandang ringan kerana pernah menewaskan Malaysia 4-2 pada Trofi Juara-Juara Asia di Inner Mongolia serta 3-2 dalam aksi kelayakan Olimpik di Muscat, Oman pada 2024.

Bagaimanapun, Malaysia turut mencatat dua kemenangan ke atas China 2-0 dan 4-1 pada Piala Asia di Bihar, India, September lalu.

Setakat ini, China yang berada di ranking ke-24 dunia dan dibawah bimbingan jurulatih Australia, Anthony Farry belum menampilkan aksi meyakinkan di Ismailia.

China tewas tipis 5-4 kepada Pakistan sebelum seri 1-1 menentang Austria dalam saingan Kumpulan B.

Tiga pasukan terbaik keseluruhan daripada kempen kelayakan kali ini akan mendapat slot automatik ke Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Belgium dan Belanda pada Ogos nanti.

Kali terakhir Malaysia beraksi di Piala Dunia adalah pada 2023 di Odisha, India dan menamatkan kejohanan di tempat ke-13 daripada 15 pasukan.

Ringkasan AI

  • Skuad hoki lelaki kebangsaan memilih laluan sukar dalam misi untuk melangkah ke separuh akhir kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 di Ismailia, Mesir
  • Selepas kemenangan atas Austria, Malaysia tewas kepada Pakistan dengan skor 3-5
  • Perlu menewaskan China untuk memastikan tempat ke kelompok empat terbaik
  • China bukan lawan yang boleh dipandang ringan, menewaskan Malaysia dalam pertemuan sebelumnya
  • Tiga pasukan terbaik dari kempen kelayakan akan mendapat slot automatik ke Piala Dunia 2026
Scroll to Top