Spiritual: Jalan keluar bagi masalah jiwa

SEJAK kita diuji dengan COVID-19, sektor ekonomi berubah dalam skala yang besar. Tauke-tauke ada yang bungkus. Peniaga kecil apatah lagi. Aliran tunai agak ‘stuck’. Masing-masing berhadapan situasi yang getir lagi sukar.

Mereka yang dibebani dengan loan yang berdarah daging daripada sistem Kapitalisme, agak sukar untuk survivemelepaskan diri daripada belenggu ini. Kalau pada masa ini saya kemukakan sistem Islam sebagai solusi untuk meredakan isu kemiskinan, rasanya akan dibebali dengan ayat ‘tidak realistik’.

Advertisement

Justeru, saya cuba kongsikan sedikit dari sudut pengurusan jiwa ketika mana berhadapan dengan krisis. Fokus lebih kepada ayat 6 dan 7, seterusnya ayat 8 daripada surah al-Kahfi:

‎فَلَعَلَّكَ بَاخِعٌ نَّفْسَكَ عَلَىٰ آثَارِهِمْ إِن لَّمْ يُؤْمِنُوا بِهَٰذَا الْحَدِيثِ أَسَفًا

“Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan al-Quran ini.”

‎إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الْأَرْضِ زِينَةً لَّهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلً

“Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.”

Nabi S.A.W pernah diuji dengan tekanan jiwa, lalu Allah S.W.T datangkan satu kaedah pengurusan jiwa. Kaedah itu disebut pada ayat ke 7, iaitu dengan mengeluarkan diri dari kongkongan berfikir cara Materialisme, kepada kehidupan berspiritual.

Sistem Barat yang terbina sejak zaman Renaissance sangat memberi fokus kepada pembentukan akal dan pembinaan tamadun, sehingga terabai sudut elemen kerohanian (roh). Dengan kata lain, manusia semakin hanyut daripada hidup beragama, dan semakin hilang rasa bertuhan.

Allah S.W.T buktikan secara zahir mengenai kewujudanNya dengan kuasa-kuasa yang hebat melalui penciptaan alam, dan penciptaan manusia. Ia sebagai tanda bahawa manusia perlu sedar bahawa Allah itu ada! Rasa bertuhan ini perlu disemai, kerana ia berada di sebalik material, tidak terlihat dengan mata kasar.

Justeru, untuk menyemai rasa bertuhan ini, perlu dengan melihat kebesaran Allah S.W.T dengan hati. Deria hati perlu dibuka, dan digunakan untuk menerjah alam di sebalik material. Semata-mata untuk mengenali mengenai tuhan, dan kekuasaan-Nya dalam mencatur alam semesta.

Bahkan, kehancuran alam dan segala fenomenanya merupakan bukti kekuasaanNya, dan menjadi bukti bahawa material yang dikejarkan itu hancur bila sampai masanya. Allah S.W.T berfirman dalam ayat 8

‎وَإِنَّا لَجَاعِلُونَ مَا عَلَيْهَا صَعِيدًا جُرُزًا

“Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu (punah-ranah) sebagai tanah yang tandus.”

Allah S.W.T fahamkan kepada kita bahawa segala material yang melorongkan kita kepada tekanan jiwa ini, semuanya berakhir dengan kehancuran. Segala kemewahan yang dikejar manusia, akan berakhir dengan kubur. Kereta mewah sampai satu masa akan menjadi besi buruk. Rumah yang besar tidak boleh di bawa ke akhirat, kubur yang sempit itu yang akan kita diami.

Kefahaman-kefahaman seperti ini Allah S.W.T ajarkan kepada kita supaya dijadikan method untuk mengurus jiwa. Iaitu bermula dengan membebaskan minda kita daripada belenggu material, kepada dunia spritiual. Kemudian, jadikan spiritual itu sebagai jalan keluar daripada krisis. Allah S.W.T berfirman dalam surah at-Talaq;

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا (2) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ….

“… dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya) (2) Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya…”

Rasa bertuhan, akan menimbulkan hati yang tenang dan meletakkan pengharapan penuh kepadaNya. Orang seperti ini, Allah S.W.T berjanji akan memberikan kepadanya jalan keluar kepada krisis yang sedang dihadapinya.

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 25/6/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000953077134/posts/5640834225958291/