Suami isteri antara 4 ditahan, dadah 13.42kg dirampas

Suami isteri antara 4 ditahan, dadah 13.42kg dirampas

am@hmetro.com.my

Raub: Penahanan empat individu, termasuk pasangan suami isteri, membawa kepada rampasan 13.42 kilogram dadah pada serbuan dijalankan di Jalan Pasar, dekat sini, 3.30 petang, 19 Mac lalu.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pada serbuan itu, pihaknya menemukan dua bungkus plastik mengandungi syabu seberat 5.40 gram (gm) dan lima bungkus teh Cina mengandungi 5.31 kilogram (kg) syabu.

“Kami turut menemukan lima bungkus plastik berisi ketulan kristal seberat 7.6kg dan sebungkus bungkusan berisi ganja seberat 513.20 gm.

“Kesemua dadah itu cukup boleh dibekalkan kepada 26,331 penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, hari ini.

Katanya, suspek yang ditahan membabitkan dua lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia selain seorang wanita tempatan berusia 37 hingga 59 tahun.

“Suspek warga Indonesia berusia 59 tahun tidak dokumen pengenalan diri sah.

“Wanita itu pula disahkan positif dadah jenis Amphetamine hasil ujian urin yang dijalankan,” katanya.

Kata beliau, sindiket didalangi warga tempatan dan aktif sejak tiga bulan lalu dengan dadah pula diperoleh daripada pengedar di Lembah Klang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 26 Mac ini bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah boleh menyalurkannya kepada polis dengan menghubungi talian 09-5051999/2202 atau 012-2087222.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top