'Sukar ditelan, harap bangkit' – Ab Rasid

'Sukar ditelan, harap bangkit' – Ab Rasid

sukanteam@nstp.com.my

Kuala Terengganu: Kekalahan besar 1-5 kepada Selangor FC pada aksi kesembilan Liga Super Selasa lalu begitu sukar untuk ditelan peminat setia Terengganu FC (TFC) termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh.

Jelas Ab Rasid, jika melihat kepada corak permainan yang diperagakan anak buah jurulatih, Tomislav Steinbruckner pada malam itu, jumlah jaringan yang ‘bocor’ itu tidak sepatutnya terjadi sehingga menampakkan skuad Penyu begitu longlai dan pincang sehingga mudah dibelasah lawan.

Bagaimanapun Ab Rasid berkata, beliau belum panik melihat situasi itu walaupun pasukannya mengalami kekalahan terbesar pertama setakat ini, sebaliknya tetap berterima kasih kepada semua pemain yang berusaha keras untuk kembali bangkit.

Namun pada masa sama beliau akan meminta ketua jurulatih yang lebih mesra dipanggil ‘Tommy’ membuat analisis secara terperinci berhubung kekalahan memalukan itu bagi mengelak ‘tragedi’ kedua berulang menentang Sri Pahang FC pada 28 April ini.

“Saya tetap berterima kasih kepada barisan pemain atas usaha mereka untuk kembali bangkit dalam perlawanan itu walaupun tidak dapat menerima kekalahan besar di tangan skuad The Red Giants itu.

“Saya berpandangan TFC tidak sepatutnya tewas dengan jumlah jaringan yang begitu besar selepas melihat semangat dan persembahan pemain untuk menyaingi pasukan tuan rumah pada pertembungan itu.

“Kita mempunyai peluang untuk menghasilkan jaringan pembukaan dan jika ianya terhasil, saya yakin permainan yang ditampilkan pemain berbeza dan keputusan juga akan turut berubah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top