SUKE diminta periksa semua komponen kren gantri, rasuk [METROTV]

Kuala Lumpur: Pihak Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) diminta untuk memeriksa semua komponen kren gantri dan rasuk yang sudah dilancarkan di tapak pembinaannya.

Itu adalah antara langkah dan ketetapan yang diputuskan dalam mesyuarat antara Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia ( CIDB), SUKE, jurutera perunding, jurutera perunding bebas dan kontraktor, hari ini.

Ketua Pengarah LLM Datuk Ir Mohd Shuhaimi Hassan berkata, mesyuarat dengan beberapa pihak itu susulan tragedi di tapak binaan SUKE Persiaran Alam Damai, di sini, yang mengorbankan tiga nyawa semalam.

“Selain itu pihak kontraktor sudah diarahkan untuk memberhentikan kerja di tapak kecuali kerja-kerja menyelamat termasuk kerja penstabilan struktur.

“Selain itu, menyediakan akses sementara untuk penghuni Kondominium Puncak Banyan serta memaklumkan kepada pengguna lebuh raya berhubung pelan akses sementara di semua medium komunikasi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi mempertingkatkan keselamatan pengguna dan orang awam terjamin, pihak SUKE mendapat kelulusan penutupan penuh jalan sedia ada di Taman Len Seng (Zon 2) dan Jalan Alam Damai (Zon 3).

Menurutnya, manakala di Persiaran Alam Damai (Zon 1), pihak SUKE perlu memastikan terdapat laluan alternatif terlebih dahulu sekiranya cadangan untuk menutup Persiaran Alam Damai dilaksanakan.

KERJA pembersihan di tapak pembinaan bagi menurunkan seorang mangsa yang maut dalam kejadian sebuah kren ‘launcher’ di pembinaan lebuh raya di Persiaran Alam Damai, Cheras yang tumbang semalam. FOTO Hazreen Mohamad

“Pihak JKKP dan CIDB sedang menjalankan siasatan ke atas punca insiden dan akan mengemukakan laporan kepada pihak kerajaan.

“Pembinaan projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang atau SUKE sepanjang 24.4 km yang bermula pada 29 Ogos 2016 sehingga kini sudah mencapai kemajuan sebanyak 88.8 peratus.

“Ia dijadualkan siap pada akhir tahun ini,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Komponen kren terjatuh: Kebajikan mangsa, keluarga diberi perhatian
  • Proses keluarkan mayat ketiga insiden komponen kren jatuh diteruskan
  • Pasang lebih banyak papan tanda amaran di kawasan pembinaan SUKE
  • Komponen kren jatuh: Identiti mangsa dikenal pasti
  • Usaha mengeluarkan mayat terakhir masih dijalankan
  • Jalan perlu ditutup jika alih struktur berat – Fadillah [METROTV]
  • Kaji punca kemalangan di tapak pembinaan – PPJK [METROTV]
  • 3 maut tragedi komponen kren gantri terjatuh [MetroTV]