SERDANG – Program vaksinasi untuk petugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) 2.0 Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini berjalan lancar.
Seorang kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Ahmad Sohaib Mohd Dan berkata, program vaksinasi di situ dimulakan kepada petugas yang terlibat sejak Isnin lalu.
Setakat ini sebanyak 900 petugas termasuk 500 orang kakitangan KKM akan menerima vaksin di situ.
“Kita anggarkan jumlah petugas di pusat ini yang akan divaksin adalah 900 orang. Ada juga di antara mereka nak divaksin di tempat mereka sebelum ini, di tempat kerja mereka contohnya hospital asal mereka.
“900 itu bukan hanya petugas KKM tetapi termasuk anggota polis, bomba, tentera, dan ada Angkatan Pertahanan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau terdahulu memaklumkan lebih kurang 1,300 anggota barisan hadapan pelbagai agensi bertugas di PKRC 2.0.
Ahmad Sohaib menjangkakan, proses vaksinasi akan selesai pada minggu depan.
Terdahulu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar hadir di PKRC 2.0 bagi meninjau program vaksinasi kepada petugas barisan hadapan yang bertugas di situ.
Beliau secara ringkas menyifatkan, proses pemberian vaksin di situ adalah memuaskan.-MalaysiaGazette




