SWCorp perkasa penguatkuasaan, 113 pesalah jalani PKM Siri ke-50

SWCorp perkasa penguatkuasaan, 113 pesalah jalani PKM Siri ke-50
SWCorp perkasa penguatkuasaan, 113 pesalah jalani PKM Siri ke-50

Penguat kuasa SWCorp memberi taklimat kepada pesalah yang terlibat.

PUTRAJAYA – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) terus memperkukuh penguatkuasaan terhadap kesalahan membuang sampah kecil menerusi pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) siri ke-50 membabitkan 113 pesalah secara serentak di 17 lokasi.

Pelaksanaan itu melibatkan pesalah di Johor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Pahang, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis, dengan aktiviti dilaksanakan di lokasi tumpuan awam termasuk kawasan rekreasi, dataran awam, pusat bandar serta persekitaran kemudahan komuniti.

Daripada jumlah tersebut, 111 pesalah atau lebih 98 peratus dikenakan tindakan kerana kesalahan membuang puntung rokok, manakala masing-masing seorang membabitkan pembuangan bekas minuman dan tin minuman.

Seramai 84 pesalah merupakan warganegara Malaysia, manakala 29 lagi bukan warganegara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) SWCorp, Syahrul Nizam Saleh berkata, pelaksanaan PKM kali ke-50 ini menjadi satu lagi penanda aras penting dalam kesinambungan penguatkuasaan terhadap kesalahan membuang sampah kecil.

“Pelaksanaan PKM memberi peluang kepada pesalah merasai sendiri tanggungjawab membersihkan ruang awam akibat perbuatan yang dilakukan.

“Pendekatan ini bukan sekadar menghukum, tetapi mendidik dan membentuk kesedaran supaya kesalahan sama tidak berulang,” katanya ketika ditemui pada program pelaksanaan PKM siri ke-50 di Dataran Wawasan Putrajaya, pada Selasa.

SYAHRUL NIZAM

SYAHRUL NIZAM

Syahrul Nizam menjelaskan, pelaksanaan PKM itu turut memperlihatkan bahawa perbuatan membuang puntung rokok secara sembarangan masih menjadi kesalahan paling dominan.

Justeru beliau menegaskan, masyarakat perlu memahami bahawa puntung rokok tetap dikategorikan sebagai sampah dan tidak boleh dibuang sesuka hati di tempat awam.

Komitmen percepatkan pertuduhan

Sehingga 13 September 2026, sebanyak 16,037 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) telah dikeluarkan syarikat berkenaan terhadap pesalah yang dikenalpasti dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,525 kes memperoleh izin pendakwaan, manakala 1,264 kes melalui proses sebutan di mahkamah.

Syahrul Nizam memaklumkan, sebanyak 741 kes telah selesai diputuskan mahkamah, termasuk pengenaan hukuman denda serta PKM.

Bagi pelaksanaan PKM, seramai 486 pesalah telah selesai menjalani hukuman, manakala 167 pesalah sedang menyempurnakan baki jam PKM sebagaimana diperintahkan mahkamah.

Dalam usaha mempercepatkan penyelesaian kes, beliau memaklumkan, SWCorp telah mengambil beberapa pendekatan termasuk mengadakan perbincangan dengan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mempercepatkan proses mendapatkan izin dakwa yang melibatkan kerjasama daripada pihak pendakwaan negeri.

“Kami juga telah berunding dengan Ketua Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya bagi mempercepatkan sebutan kes di mahkamah.

“Pihak pendaftar telah bersetuju mewujudkan satu hari khusus setiap minggu bagi mempercepatkan kes-kes berkenaan,” jelasnya.

Di bawah Seksyen 77A Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 dan sebagai hukuman tambahan, diperintahkan menjalani PKM sehingga 12 jam di bawah Seksyen 77B akta sama, tertakluk kepada pertimbangan mahkamah.

Penguatkuasaan berterusan

Pesalah melaksanakan perintah khidmat masyarakat sambil diperhatikan oleh penguat kuasa SWCorp.

Pesalah melaksanakan perintah khidmat masyarakat sambil diperhatikan oleh penguat kuasa SWCorp.

Syahrul Nizam menegaskan, SWCorp akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan khususnya di lokasi tumpuan awam dan kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot pembuangan sampah kecil, termasuk ketika berlangsung program, sambutan serta aktiviti yang melibatkan kehadiran orang ramai.

Pendekatan berterusan itu menurutnya, bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang, membentuk kesedaran dan rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat supaya kebersihan ruang awam menjadi tanggungjawab bersama.

“Pelaksanaan program PKM turut mendapat kerjasama pihak syarikat konsesi serta pihak berkuasa tempatan (PBT) di lokasi terlibat.

“Bersempena Sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, SWCorp menyeru seluruh masyarakat supaya menterjemahkan semangat cintakan negara melalui sikap bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.

“Jangan buang sampah kecil meratarata. Malaysia yang bersih bermula daripada sikap dan tindakan kita sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan PKM mengambil kira faktor keselamatan dan keadaan cuaca, khususnya susulan situasi jerebu ketika ini.

Malah menurutnya, tempoh pelaksanaan bergantung kepada hukuman yang ditetapkan mahkamah dengan tempoh maksimum tidak melebihi empat jam.

“Bagi memastikan keselamatan pesalah, kami mewajibkan pemakaian pelitup muka dan akan melihat keadaan semasa. Sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat, pelaksanaan akan dihentikan dan dijadualkan pada hari lain.

“SWCorp juga telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi membolehkan perintah ini dilaksanakan secara dalam bangunan sekiranya keadaan IPU terus tidak sihat.

“Antara tugasan yang boleh dilaksanakan dalam bangunan termasuk kerja membersihkan tandas, surau dan dewan,” jelasnya.

 

 

 

Scroll to Top