Syed Saddiq, Bella pilih kongsi sumbangan bahan asas RM300k dalam Kenduri Rakyat

Syed Saddiq, Bella pilih kongsi sumbangan bahan asas RM300k dalam Kenduri Rakyat

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Tanggal 10 Oktober ini bakal menyaksikan fasa baharu dalam kehidupan penyanyi dan pelakon, Bella Astillah bersama ahli politik, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman apabila pasangan ini dijadualkan disatukan sebagai suami isteri.

Bakal melangsungkan majlis resepsi di Muar, Johor pada 25 Oktober diikuti Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober, perkahwinan pasangan ini menjadi antara detik yang paling dinanti-nantikan peminat.

Namun, di sebalik kemeriahan persediaan, kedua-duanya sepakat untuk membawa mesej yang lebih bermakna menerusi majlis perkahwinan mereka.

Bagi Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar, penganjuran majlis perkahwinan berkenaan bukan sekadar meraikan hari bahagia, sebaliknya tanggungjawab untuk memberi semula kepada masyarakat.

Menurutnya, menerusi Kenduri Rakyat yang dirancang, mereka bekerjasama dengan jenama tempatan yang menyumbang puluhan ribu kilogram bahan asas bernilai sekurang-kurangnya RM300,000.

“Awal-awal lagi saya nak pastikan kenduri rakyat ini diurus dengan baik sebab ini cara terbaik kita mahu mengembalikan hari kebahagiaan ini kepada orang ramai.

“Nilai sumbangan bahan asas ini mencecah RM300,000 dan berbanding meminta wang tunai adalah lebih baik kita meringankan beban orang ramai,” katanya.

Syed Saddiq berkata, beliau mahu memberi teladan kepada anak muda agar tidak berbelanja secara berlebihan atau menanggung beban hutang berdekad-dekad hanya demi kemewahan majlis sehari.

“Atas sebab itu, majlis resepsi utama di ibu kota dikecilkan skalanya kepada 200 tetamu sahaja.

“Bagi membolehkan peminat dan rakan yang tidak dapat hadir secara fizikal meraikan bersama, majlis akan disiarkan secara langsung di platform TV dan atas talian,” katanya.

Sementara itu, Bella berkata, pemilihan Kota Kinabalu sebagai lokasi resepsi di Sabah diputuskan kerana kedudukan strategik di tengah-tengah bagi memudahkan kehadiran ahli keluarga dan jemputan dari seluruh negeri.

“Kota Kinabalu (KK) itu lokasinya di tengah-tengah. Ikutkan hati memang nak buat di Sandakan, tapi kebanyakan penaja berada di KK.

“Selepas dipertimbangkan, lebih baik buat di sana (KK) supaya orang dari Lahad Datu dan seluruh Sabah mudah untuk datang,” katanya.

Menjelang hari bahagia, pasangan ini turut berkesempatan menerima nasihat bermakna daripada Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, tiga hari sebelum beliau meninggal dunia.

Pertemuan selama lebih dua jam itu meninggalkan kesan mendalam buat Syed Saddiq dan Bella.

Menurut Syed Saddiq, Allahyarham amat ceria dan berkongsi kisah cinta serta pesanan mengenai kepentingan toleransi dan kompromi dalam rumah tangga.Beliau turut menekankan bahawa pendidikan mesti diutamakan sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

Bagi Bella, pesanan Allahyarham supaya menjadi wanita yang lembut tetapi kuat di sisi suami akan sentiasa dipelihara.

“Antara pesanannya, saya kena kuat dan sentiasa berada di sisi suami. Menjadi wanita yang lembut, tapi kuat.

“Walaupun perjalanan ini tidak mudah, selagi ada kepercayaan dan hormat pada suami, insya-Allah ia akan berkekalan,” katanya.

Mengenai persediaan bergelar bapa kepada dua cahaya mata Bella, iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna, Syed Saddiq mengakui sudah mula membaca pelbagai buku berkaitan keibubapaan sejak akhir tahun lalu.

Beliau turut memuji cara Bella mendidik anak-anaknya yang disifatkan sangat bijak dan bersopan santun.

“Saya bertuah kerana tanggungjawab dan amanah itu dilaksanakan dengan begitu baik oleh ibunya. Saya hanya sekadar pelengkap dan akan cuba buat yang terbaik untuk laksanakan amanah ini,” katanya.

Meskipun majlis nikah berlangsung sehari selepas pembentangan Belanjawan 2027 dan ketika sidang Parlimen bermula, Syed Saddiq memberi jaminan tidak akan culas terhadap tanggungjawabnya.

Begitu juga dengan Bella yang akan terus aktif dalam kerjaya seni dan penggambaran.

Syed Saddiq menegaskan beliau tidak akan menyekat pintu rezeki mahupun kerjaya profesional bakal isterinya.

“Ya, itu memang sudah dibincangkan dari awal. Proses perkahwinan ini mengajar kita untuk ada persetujuan awal mengenai kerjaya dan rumah tangga.

“Tidak adil untuk saya sebagai suami menyekat atau memadamkan kerjaya profesional Bella,” katanya.

Bagi Bella pula, sokongan padu daripada anak-anak dan keluarga menjadi penguat semangat untuknya melangkah ke fasa baharu ini.

“Anak-anak gembira sangat dan tak sabar. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang mendoakan. Semoga perjalanan baharu ini diberkati, insya-Allah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top