Taat institusi diraja, kekalkan pentadbiran negeri untuk jamin kestabilan – Aminuddin

Taat institusi diraja, kekalkan pentadbiran negeri untuk jamin kestabilan – Aminuddin

am@hmetro.com.my

Kuala Pilah: “Kita rakyat Negeri Sembilan, kita sayang Negeri Sembilan, taat kepada pemerintah Negeri Sembilan, kepada Raja, kepada semua. Kita ada Raja, kita ada Datuk Undang,” kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau yang berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan malam tadi, mahu rakyat negeri itu taat kepada institusi diraja dan adat bagi memastikan kestabilan terus terpelihara.

Aminuddin berkata, pengundi di Negeri Sembilan juga memainkan peranan untuk mengekalkan PH sebagai pemerintah dalam memastikan kestabilan kerajaan negeri kekal.

“Kita sedia maklum kita terpaksa memendekkan masa (pentadbiran), daripada lima tahun sepatutnya kepada tak sampai tiga tahun. Ini adalah disebabkan oleh yang semua sudah tahu.

“Apa yang berlaku di Negeri Sembilan ini, apa yang berlaku di negeri kita ini yang menyebabkan kita hari ini terpaksa berkumpul, terpaksa mengadakan pilihan raya.

“Terpaksa hadir untuk kita sama-sama memberikan sokongan untuk pastikan Negeri Sembilan ini kekal stabil,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai calon PH yang akan bertanding 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi PRN Negeri Sembilan.

Aminuddin turut menyeru rakyat supaya memberikan sokongan kepada calon pelbagai latar belakang yang diumumkan bertanding PRN, supaya mereka menjadi ‘pasukannya’ dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa lebih banyak manfaat yang akan dinikmati rakyat di Negeri Sembilan sekiranya PH terus mentadbir negeri itu.

“Bukan sahaja di kawasan Seremban, Port Dickson dan Rembau, tetapi kita yakin kita akan sampai ke kawasan lain.

“Insya-Allah kita yakin akan sampai Kuala Pilah, akan sampai ke Jempol, akan sampai ke Jelebu, akan sampai ke Tampin untuk kita bangunkan negeri yang kita cintai ini dalam ‘master plan’ kita,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top