Seoul : Penyanyi dan pelakon, Taecyeon, 37, menimbulkan spekulasi bakal menamatkan zaman bujang selepas beberapa foto dia melamar kekasihnya di Paris, Perancis tersebar.
Penuh romantik, jelas terserlah kegembiraan di wajah teman wanitanya dan pasangan terbabit kelihatan cukup bahagia.
Bagaimanapun, Taecyeon menerusi sebuah kenyataan rasmi dikeluarkan agensinya 51K menafikan khabar angin dia akan berkahwin.
“Dia cuma mengambil foto sempena hari lahir teman wanitanya. Memandangkan dia bukan selebriti (teman wanita), kami juga agak terkejut gambar itu tersebar,” kata kenyataan itu.
Sebelum itu, sebuah komuniti dalam talian memuat naik hantaran mendakwa pasangan berkenaan sudah berkahwin secara rahsia tahun lalu. Foto-foto terbabit dikatakan dimuat naik jurufoto di Paris.
Aksinya memberikan cincin seakan melamar teman wanitanya menguatkan lagi desas-desus perkahwinan mereka.
Bagaimanapun, jurufoto itu kemudian memadam hantaran terbabit.
Anggota kumpulan 2PM itu mengesahkan dia menjalin cinta dengan wanita bukan selebriti pada 2020 lalu. Dia juga memohon maaf sebaik berkongsi berita mengejutkan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd