Tak guna menang dalam pemilihan, tapi tak boleh jadi wakil rakyat – Nik Nazmi

Tak guna menang dalam pemilihan, tapi tak boleh jadi wakil rakyat – Nik Nazmi

am@hmetro.com.my

Seremban: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nik Nazmi Nik Ahmad mengingatkan ahli parti itu supaya tidak takut untuk membuat keputusan yang tepat dan terbaik demi masa hadapan parti itu.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, berkata dalam membuat pemilihan kelak, parti perlu memberikan keutamaan dalam memastikan PKR dapat mempertahankan pencapaian pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Ahli PKR tidak harus takut untuk membuat keputusan yang tepat dan terbaik demi masa hadapan parti ini.

“Kita kena berfikir ke arah untuk memastikan PKR dapat bertahan dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

“Tiada guna menang dalam pemilihan tapi orang yang menang itu hendak jadi wakil rakyat pun tak boleh,” katanya berucap pada Jelajah Hiruk sempena Pemilihan PKR 2025, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dalam pada itu, Nik Nazmi yang akan mempertahankan jawatan disandangnya berharap proses Pemilihan PKR 2025 hujung bulan ini dijalankan dengan adil dan telus.

Menurut beliau, pihaknya bersedia untuk menerima sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh ahli parti termasuk jika ditakdirkan gagal mempertahankan jawatan berkenaan.

“Apabila masuk dalam pemilihan, kita sedar untuk bersedia menerima sebarang keputusan, cuma kita mahu ia dilaksanakan dengan adil dan telus, kita nak jawapan yang baik dan kita akan terima.

“Menguruskan perkara yang dinamik ini bukan suatu yang mudah dan jika kita tidak dapat uruskan dengan baik dan dapat buktikan bahawa parti ini berbeza dengan yang lain, rakyat akan hukum kita,” katanya.

Nik Nazmi berkata, beliau akan terus berjuang memperkasakan parti bagi memastikan ia terus mendapat sokongan dan keyakinan rakyat.

Menurutnya, sebagai orang parti dan akan terus melaksanakan apa juga tanggungjawab dan peranan yang perlu dilakukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top