Kanpur: Hanya kerana terlalu taksub mahu bergelar doktor, seorang pemuda di Uttar Pradesh sanggup melakukan tindakan melangkaui logik akal apabila nekad memotong kakinya sendiri.
Seorang pemuda berusia 20 tahun dari Uttar Pradesh sanggup melakukan tindakan di luar kewarasan dengan memotong kakinya sendiri semata-mata mahu merealisasikan impiannya menjadi seorang doktor.
Memetik laporan OddityCentral, suspek, Suraj Bhaskar, berusia 2o tahun dari Uttar Pradesh dituduh sengaja mencacatkan dirinya untuk melayakkan dirinya mendapat kuota khas orang kurang upaya (OKU) bagi memasuki sekolah perubatan.
Tindakan itu dipercayai dilakukan selepas dia gagal melepasi ujian kemasukan sekolah perubatan NEET sebanyak dua kali.
Rahsia itu mula terbongkar apabila abangnya, Akash Bhaskar, membuat laporan polis kononnya adiknya diserang penjenayah tidak dikenali di kampung Khalilpur sehingga menyebabkan kakinya putus.
Bagaimanapun, hasil siasatan polis menemukan banyak percanggahan dalam keterangan Suraj yang mendakwa dia menjadi mangsa serangan ganas.
Jurucakap polis memaklumkan tertuduh cuba mengelirukan siasatan dengan cerita rekaan, namun dakwaannya gagal bertahan selepas soal siasat berterusan dilakukan.
Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemui picagari yang mengandungi sisa ubat bius sekali gus mengukuhkan syak wasangka Suraj membius kaki sebelum memotongnya.
Laporan perubatan turut mendedahkan kaki mangsa dipotong dengan sangat bersih dipercayai menggunakan mesin, dan mustahil luka seumpama itu berlaku akibat serangan senjata tajam secara rawak.
Polis turut menemui sebuah diari milik Suraj yang tertulis azam ‘Saya akan menjadi doktor MBBS pada 2026’ serta keterangan teman wanitanya mengenai ketaksuban lelaki itu terhadap kerjaya perubatan.
Siasatan lanjut juga mendapati Suraj pernah cuba mendapatkan dokumen berkaitan status OKU beberapa bulan sebelum kejadian namun permohonannya gagal.
Suraj kini dihantar ke pusat trauma untuk rawatan lanjut sementara pihak berkuasa masih meneliti tindakan undang-undang yang sesuai memandangkan perbuatannya itu sangat mengejutkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




