KEMULIAAN seseorang Muslim di sisi Allah SWT tidak diukur melalui keturunan, pangkat, harta, pengaruh sosial atau pujian manusia. Ukuran sebenar kemuliaan ialah takwa iaitu keadaan hati yang sentiasa takut, patuh, berharap dan tunduk kepada Allah SWT sehingga terpancar pada akhlak, ibadah, amanah dan hubungan sesama manusia. Ini neraca rabbani yang membebaskan manusia daripada penilaian zahir yang sering menipu.
Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa antara kamu.” (Surah al-Hujurat ayat 13)
Takwa bukan sekadar ucapan atau penampilan lahiriah, tetapi disiplin rohani yang membentuk seluruh kehidupan seorang Muslim. Ulama menjelaskan bahawa takwa ialah melaksanakan perintah Allah, meninggalkan larangan-Nya dan menjaga diri daripada perkara yang boleh membawa kemurkaan-Nya.
Kehidupan manusia tidak sunyi daripada cabaran dan ujian. Ada manusia diuji dengan kemiskinan, ada yang diuji dengan kekayaan. Ada yang diuji dengan kesakitan, kehilangan, tekanan hidup, fitnah, kegagalan dan kekecewaan. Ada pula yang diuji dengan pangkat, populariti, kuasa, kesenangan dan pujian manusia. Semua ini bukan berlaku sia-sia, bahkan termasuk dalam sunnatullah untuk menzahirkan hakikat iman dan kejujuran hamba. Allah SWT berfirman bermaksud: “Dialah yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya.” (Surah al-Mulk ayat 2)
Ujian Allah SWT juga bertujuan membersihkan jiwa, mengangkat darjat, menghapuskan dosa dan mendidik manusia agar tidak tertipu dengan dunia. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sungguh menakjubkan urusan orang beriman. Sesungguhnya seluruh urusannya adalah baik, dan hal itu tidak berlaku melainkan kepada orang beriman. Jika dia mendapat kesenangan, dia bersyukur, maka itu baik baginya. Jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar, maka itu juga baik baginya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Hadis ini mendidik Muslim agar melihat kehidupan dengan pandangan iman. Kesenangan tidak menjadikannya sombong, kesusahan tidak menjadikannya putus asa kerana kedua-duanya ruang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Kemuliaan tertinggi dalam sejarah manusia tergambar pada diri Nabi Muhammad SAW. Baginda bukan sahaja mulia kerana kedudukan sebagai rasul, tetapi juga kerana kesempurnaan akhlak, kesabaran, amanah, kasih sayang dan keteguhan dalam membawa kebenaran. Allah SWT memuji baginda dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya engkau benar-benar mempunyai akhlak yang agung.” (Surah al-Qalam ayat 4)
Dalam keadaan dihina, dihalau, disakiti dan difitnah, baginda tetap memilih jalan rahmah, hikmah dan kesabaran.
Sahabat RA pula mencapai kemuliaan melalui iman yang benar, pengorbanan yang besar dan ketaatan yang luar biasa.
Begitu juga generasi salafussoleh. Mereka menjadi mulia bukan kerana kemewahan hidup, tetapi kerana kesungguhan menjaga hati, masa, ilmu dan amal.
Mereka memahami bahawa ilmu tanpa takwa boleh menjadi hujah ke atas diri sendiri, manakala ibadah tanpa ilmu boleh tersasar daripada petunjuk. Oleh itu, tradisi Islam sentiasa menekankan keseimbangan antara ilmu, iman dan akhlak. Kemuliaan seorang Muslim bukan hanya ketika dia berada di masjid atau majlis ilmu, tetapi juga ketika dia berniaga, memimpin, mengajar, berbicara, menggunakan media sosial, mengurus keluarga dan berinteraksi dengan masyarakat.
Dalam konteks kehidupan masa kini, manusia berdepan cabaran keruntuhan akhlak yang semakin kompleks. Budaya mementingkan diri, kebebasan tanpa batas, materialisme, ketagihan hiburan, penyalahgunaan media sosial, normalisasi maksiat dan hilangnya rasa malu menjadi ancaman besar kepada pembentukan insan mulia. Ramai manusia kelihatan berjaya dari sudut luaran, tetapi kosong dari sudut rohani. Ada yang memiliki ilmu, tetapi tidak amanah. Ada yang petah berbicara, tetapi tidak menjaga adab. Ada yang terkenal, tetapi tidak menjadi teladan. Di sini takwa perlu dikembalikan sebagai tunjang kemuliaan. Tanpa takwa, kemajuan boleh bertukar menjadi kesombongan, ilmu boleh menjadi alat perdebatan, kuasa boleh menjadi kezaliman dan kekayaan boleh menjadi punca kelalaian.
Islam menawarkan jalan pembinaan kemuliaan yang seimbang. Seorang Muslim perlu membina hubungan kukuh dengan Allah melalui solat, zikir, doa, taubat dan pembacaan al-Quran. Pada masa sama, dia perlu membina hubungan baik dengan manusia melalui amanah, jujur, hormat, ihsan, sabar, menepati janji dan menjaga lisan. Iman yang benar mesti diterjemahkan dalam akhlak.
Kemuliaan seorang Muslim berpaksikan takwa yang hidup dalam hati dan terbukti dalam amal. Ujian kehidupan bukan tanda Allah membenci hamba-Nya, tetapi medan tarbiah untuk menzahirkan iman, menghapuskan dosa dan mengangkat darjat. Dalam dunia yang semakin mencabar, Muslim perlu kembali kepada neraca Allah, bukan neraca manusia. Apabila takwa menjadi tunjang, manusia akan mulia walaupun tidak terkenal; kuat walaupun diuji; tenang walaupun dicabar; dan berjaya walaupun dunia tidak selalu berpihak kepadanya. Ini kemuliaan yang hakiki, iaitu kemuliaan di sisi Allah SWT.
Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan
© New Straits Times Press (M) Bhd




