suzalina@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Umpama berada di Jepun, beberapa kawasan di ibu kota ‘berubah wajah’ kerana dihiasi dengan keindahan bunga Tecoma yang cantik.
Keindahan itu dapat dinikmati selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menanam 10,300 pokok Tecoma di sekitar ibu kota di pinggir jalan dan taman awam.
Menurut DBKL, pokok berkenaan ditanam bukan sahaja bagi tujuan teduhan dan kehijauan malahan untuk keindahan juga.
“Daripada jumlah itu, 1,173 batang pokok ini berada di pinggir jalan sekitar bandar raya ini. Pokok ini turut ditanam di dalam taman awam di bawah seliaan DBKL.
“Pokok ini ditanam sebagai tanaman pinggiran jalan yang berfungsi bukan sahaja sebagai pokok teduhan tetapi juga sebagai hiasan kerana ia menghasilkan bunga yang menarik iaitu merah jambu dan putih,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menurut DBKL, keindahan pokok Tecoma boleh dilihat di jalan utama seperti di sekitar kawasan Jalan Klang Lama, Jalan Kuching, Jalan Sri Permaisuri, Jalan Metroprima Kepong dan Lebuhraya Pantai Baru (NPE).
Katanya, penanaman pokok itu akan diperluaskan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian.
© New Straits Times Press (M) Bhd