Tekanan di bahu Thailand, Malaysia intai final Sukan Sea

Tekanan di bahu Thailand, Malaysia intai final Sukan Sea

sukan@hmetro.com.my

Bangkok: Thailand bakal melangkah masuk ke Stadium Rajamangala malam esok dengan membawa bersama harapan, sejarah serta tekanan sebuah negara yang menuntut pingat emas, manakala Malaysia pula hadir berbekalkan keyakinan dan peluang untuk menamatkan penantian lapan tahun mara ke final bola sepak Sukan Sea.

Skuad tuan rumah secara terbuka mengakui berdepan tekanan dan jangkaan tinggi untuk memenangi emas “demi penyokong”, sambil mengakui kualiti dimiliki Malaysia ketika mereka bersiap sedia menyenaraikan semula pemain yang pulih daripada kecederaan.

Bagi Thailand, sebarang keputusan selain gelaran juara dianggap sebagai kegagalan sebaliknya Malaysia turun tanpa beban.

Ketua jurulatih, Nafuzi Zain sedar pasukannya berdepan tugas getir menentang pilihan utama kejohanan di hadapan penyokong lawan, namun percaya tekanan sebenar berada di bahu tuan rumah.

“Mereka tuan rumah, mereka ada sokongan penyokong dan pemain berkualiti di setiap posisi. Ia bukan perlawanan mudah,” katanya.

“Namun dalam kejohanan seperti ini, apa sahaja boleh berlaku. Kami akan bermain mengikut cara kami dan lihat ke mana ia membawa kami.”

Separuh akhir esok turut memberi peluang buat Malaysia mencipta sejarah. Skuad Harimau Muda kali terakhir memenangi pingat dalam final Sukan Sea pada 2017 dan selepas dianggap pasukan yang bakal tersingkir awal, skuad ini kini hanya selangkah daripada pingat, malah berpotensi melangkah lebih jauh.

“Objektif kami adalah untuk mara ke separuh akhir. Kini sasaran seterusnya adalah pingat. Kami hanya fokus kepada Thailand. Jika mara ke final, kami bersedia menentang sesiapa sahaja,” kata Nafuzi.

Malaysia perlu mempamerkan ketenangan lebih baik berbanding aksi peringkat kumpulan menentang Vietnam, di mana kesilapan awal hampir mengundang padah.

Kapten pasukan, Ubaidullah Shamsul Fazili mengakui bertanggungjawab atas kesilapan tersebut dan menekankan kepentingan kesatuan serta keyakinan ketika menentang Thailand.

“Bagi kami, ini seperti perlawanan final sebenar. Kami belajar daripada kesilapan. Kami perlu bermain sebagai satu unit, yakin dan memberikan yang terbaik,” kata Ubaidullah.

Terdapat kebimbangan mengenai keadaan Aliff Izwan Yuslan yang dinilai 50-50 akibat kecederaan bahu, manakala Shafizan Arshad pula mengalami masalah belakang dan diragui untuk diturunkan, namun Nafuzi menegaskan tumpuan utama adalah kepada kesiapsiagaan mental dan fizikal, bukannya soal pemain.

“Fokus kami adalah 90 minit perlawanan. Perkara di luar tidak akan memberi kesan kepada kami. Ini peluang kami,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top