Tekanan dorong Sabah berpesta gol di Likas

Tekanan dorong Sabah berpesta gol di Likas

bhsukan@bh.com.my

KOTA KINABALU: Ketua Jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto berkata kejayaan memanfaatkan tekanan dialami UiTM FC sebagai antara faktor mereka mampu membenam pasukan itu 4-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

“Kita dapat melihat tekanan dalam pasukan UITM FC sejak awal perlawanan berikutan mereka hanya memperolehi satu mata dan berada di tangga tercorot Liga Super. Kita memanfaatkan peluang ini untuk mencapai kemenangan.

“Saya harus memberikan pujian sangat tinggi kepada semua pemain kerana mereka mempamerkan aksi yang sangat cemerlang dan mengikut semua perancangan awal pasukan kita,” katanya selepas perlawanan.

Secara keseluruhan, Kurniawan berkata beliau berpuas hati terhadap persembahan yang dipamerkan anak buahnya dalam perlawanan malam tadi sekali gus berharap pemain dapat mengekalkan rentak dalam perlawanan seterusnya.

Mengenai persiapan menentang Selangor FC di gelanggang lawan pada 23 April ini, beliau berkata Sabah FC masih mempunyai masa untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi perlawanan itu.

Sementara itu, pengendali UiTM FC, Mohd Reduan Abdullah mengakui kelemahan di bahagian serangan pasukan itu menyebabkan ia gagal melakukan cubaan yang baik untuk meledakkan gol selain hilang tumpuan apabila Sabah berjaya menjaringkan gol.

Katanya, kelemahan itu akan diberi tumpuan dalam penambahbaikan pasukan pada perlawanan selepas ini selain mengukuhkan lagi bahagian pertahanan.

Menurutnya, kekalahan 4-0 malam tadi adalah sesuatu yang di luar jangkaan dan tersasar daripada ramalan awal pihaknya yang sebelum ini mengandaikan hanya satu gol jika kemenangan berpihak kepada Sabah FC.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top