Tentera Myanmar rampas kedutaan Myanmar di London

Duta Myanmar Kyaw Zwar Minn berkata, beliau dan petugas kedutaan diminta keluar dari bangunan kedutaan itu oleh seorang wakil tentera Myanmar di United Kingdom (UK). (Gambar AP)

LONDON: Duta dan kakitangan Kedutaan Myanmar di London diarah meninggalkan bangunan kedutaan pada Rabu, lapor Agensi Anadolu.

Dutanya Kyaw Zwar Minn berkata, beliau dan petugas kedutaan diminta keluar dari bangunan kedutaan itu oleh seorang wakil tentera Myanmar di United Kingdom (UK).

“Mereka tidak membenarkan saya masuk ke kedutaan. Mereka kata mereka dapat arahan daripada pihak bandar raya itu, jadi mereka tidak akan membenarkan saya masuk.

“Ini rampasan kuasa. Sini adalah UK. Kami bukan berada di Myanmar. Mereka tidak boleh buat seperti ini. Kerajaan Britain tidak akan benarkan ini berlaku,” katanya.

Seorang pengguna Twitter menulis: “Komuniti Burma (Myanmar) di London ketika ini berkumpul di kedutaan #Myanmar berikutan berita menyatakan kedutaan dirampas rejim.”

Zwar Minn telah menyuarakan bantahannya terhadap kudeta dan menuntut pembebasan pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) Aung San Suu Kyi dan pegawai kanan kerajaan yang lain.

Beliau juga bertemu Setiausaha Luar UK Dominic Raab untuk menyatakan bantahannya terhadap kekejaman tentera di Myanmar.

Sekurang-kurangnya 581 orang di Myanmar terkorban sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari lalu dan sehingga 6 April, seramai 2,750 orang ditahan, 38 daripadanya dijatuhi hukuman.