Tepis isu integriti polis, amal konsep 3T dalam diri – Razali

SERDANG – Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah  mengamalkan konsep 3T (teamwork, tolerance and transparent) dalam mengemudi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) tersebut.

Menurut Razali, isu integriti dalam kalangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat ditepis jika kesemua nilai tersebut diterap dalam diri setiap pegawai dan anggota.

“Ia adalah lebih kepada jati diri dan kesedaran. Saya sendiri mengepalai IPD Serdang dengan 3T kerana kerjasama itu penting dan perlu bersatu hati tanpa berpecah-belah.

“Kita juga perlu sentiasa bertolak ansur, janganlah bercerai berai atau hasut menghasut.

“Kita juga perlu telus, jujur dan ikhlas. Anggap kerja ini sebagai satu ibadah dan jangan sesekali ada kepentingan untuk diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai isu integriti sebagai cabaran besar dalam PDRM mengembalikan kepercayaan masyarakat seperti yang dinyatakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Terdahulu Razali memeriksa barisan kawalan kehormat sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 Tahun 2021 Peringkat IPD Serdang di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd. Rosdi Daud.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Razali Abu Samah melakukan pemeriksaan barisan pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 Tahun 2021 di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 MAC 2021.

Dalam pada itu, Razali turut menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada warga kerja IPD Serdang sepanjang beliau berkhidmat.

Razali yang dilantik Ketua Polis Daerah Serdang pada 28 Oktober tahun lalu bakal bertukar sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri Melaka dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

“Begitu singkat masa berlalu, saya akan lapor diri di Melaka sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri pada 30 Mac ini.

“Berbanyak terima kasih saya ucapkan kepada semua lapisan pegawai dan anggota. Saya juga tidak pernah ada sebarang masalah sepanjang bekerja bersama-sama warga IPD ini.

“Pernah satu ketika sehingga ada 29 operasi dalam satu hari bukan semata-mata mahu membersihkan daerah ini tetapi kita tidak mahu ada unsur-unsur tidak diingini kerana meyakinkan masyarakat itu perlu.

“Kalau masyarakat sendiri tidak yakin kepada kita maka gagallah kita sebagai ahli penguat kuasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Leave a Comment