KUALA LUMPUR – Kementerian Ekonomi menyasarkan antara 10 hingga 20 syarikat bumiputera yang berpotensi tinggi dapat disenaraikan di pasaran saham dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sasaran jangka panjang itu meletakkan harapan agar kesemua syarikat terbabit yang kini berada dalam radar bimbingan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) berjaya memasuki pasaran bursa sebelum tahun 2030.
Menurut beliau, langkah berkenaan seiring dengan aspirasi kerajaan hari ini untuk membangunkan ekosistem syarikat Bumiputera yang lebih luas, melangkaui aspek pemilikan semata-mata, dengan menekankan kualiti serta keupayaan bersaing ke peringkat lebih jauh.
“Kita melihat potensi untuk membangunkan ekosistem syarikat bumiputera ini dengan lebih luas. Bukan sekadar pemilikan, tetapi juga dari segi kualitinya sehinggalah keupayaan untuk bersaing dengan lebih jauh,” ujarnya.

AKMAL NASRULLAH
Beliau berkata demikian pada sesi libat urus bersama media serta pemain industri di Semuka Café Serai, Carcosa Seri Negara, di sini, pada Khamis.
Mengulas mengenai perkembangan pasaran modal tempatan, Akmal Nasrullah mendedahkan sebuah syarikat bumiputera dijadualkan bakal disenaraikan di pasaran saham pada minggu hadapan, dan pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.
Jelasnya, walaupun berhadapan dengan cabaran global melibatkan isu sektor tenaga dan rantaian bekalan, pasaran saham tempatan masih mengekalkan daya saing yang tinggi, terbukti dengan momentum penawaran awam permulaan (IPO) yang rancak berjalan bagi tahun 2026.
Ketika ditanya mengenai status syarikat bumiputera yang hadir dalam sesi berkenaan, Akmal Nasrullah menjelaskan kesemua entiti terbabit merupakan syarikat prospek sedia ada yang telah menunjukkan komitmen dan mempunyai kedudukan tersendiri dalam industri masing-masing.
“Syarikat- syarikat yang kita berjumpa pada hari ini sebenarnya telah mempunyai kedudukan tersendiri dalam industri masing-masing, serta sudah menunjukkan komitmen dan keupayaan sendiri.
“Di sini TERAJU memainkan peranan untuk memandu mereka ke pasaran saham menerusi program khusus yang dipanggil XCELERATE sebagai persiapan terakhir mempercepatkan kekuatan mereka.
“Program bimbingan berkenaan akan membantu syarikat terbabit merangka strategi perniagaan sama ada untuk memasuki Papan Utama ataupun Pasaran ACE (ACE Market), bergantung kepada strategi perniagaan masing-masing,” ujarnya.
Bagaimanapun, identiti syarikat berkenaan belum dapat didedahkan pada peringkat ini bagi mengelakkan publisiti pramatang sebelum proses bimbingan selesai sepenuhnya.
“Proses penyenaraian memerlukan set kemahiran yang luas dan canggih merangkumi tadbir urus korporat yang mantap, kekuatan kewangan, serta prospek yang jelas bagi menarik minat pelabur luar,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Akmal Nasrullah menjelaskan bahawa inisiatif ini menyokong secara langsung Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Beliau menegaskan, PuTERA35 menuntut pelaksanaan yang lebih jelas dan berpaksikan merit supaya agenda pemerkasaan ekonomi ini tidak sekadar kekal sebagai sentimen atau semangat semata-mata.
“Dalam PuTERA35, tahapnya bukan lagi sekadar isu nak cerita pemilikan semata-mata, tetapi dari segi penguasaan dan kebolehupayaan syarikat kita untuk bersaing di pasaran yang lebih besar, malah sehingga ke peringkat rantau,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Ekonomi dan kehadiran menterinya yang mencerminkan keseriusan serta keprihatinan kerajaan dalam memperkukuh pembangunan syarikat bumiputera yang berpotensi tinggi.

JUNADY
Menurut beliau, sesi yang dikendalikan secara santai itu amat bermakna sebagai sebahagian daripada usaha bersama TERAJU dan Kementerian Ekonomi ke arah memacu pertumbuhan ekonomi nasional negara.
Junady menjelaskan, sesi berkenaan sengaja disediakan sebagai satu ruang khusus untuk mempertemukan titik tumpu dengan syarikat-syarikat yang telah mencapai satu tahap kesediaan untuk melangkah ke peringkat seterusnya, iaitu menerokai peluang di dalam pasaran modal dan pasaran saham.
Langkah ini disifatkan sebagai satu kejayaan dan fasa ke hadapan yang amat baik berbanding hanya bergantung kepada bentuk pembiayaan atau pinjaman konvensional sedia ada.
“Dalam persekitaran ekonomi global yang semakin kompetitif dan mencabar pada waktu ini, syarikat-syarikat bumiputera yang ingin berkembang perlu mempunyai akses kepada pembiayaan, asas korporat yang kukuh, serta strategi pertumbuhan yang jelas.
“Atas sebab itulah, TERAJU bersama rakan-rakan ekonomi bertanggungjawab menunjukkan jalan ke arah pasaran modal dan pasaran saham yang lebih luas, sebagai satu ruang serta platform yang boleh membantu syarikat bumiputera berkembang dengan lebih lanjut dan meningkatkan daya saing mereka,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa TERAJU akan terus memberikan komitmen yang berterusan untuk memainkan peranan penting sebagai perantara, pembimbing, pembina, serta penyokong tegar dalam aspek pertumbuhan kewangan dan pembangunan ekosistem syarikat-syarikat terbabit.
Menyentuh mengenai syarikat bumiputera yang diraikan dalam majlis itu, Junady menzahirkan ucapan tahniah atas segala pencapaian yang telah diraih oleh mereka setakat ini.
Beliau optimis dan percaya bahawa kesemua entiti perniagaan berkenaan mempunyai potensi yang sangat besar untuk terus mengukuhkan kedudukan masing-masing dan mara ke tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan.



