Terbuka Thailand: Memori manis Impact Arena cetus semangat Zii Jia

Terbuka Thailand: Memori manis Impact Arena cetus semangat Zii Jia

Kuala Lumpur: Perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, berada dalam keadaan kelam kabut, baik daripada segi mental mahupun persiapan meghadapi Terbuka Thailand yang bakal membuka tirai esok.

Tetapi venue rasmi kejohanan, Impact Arena berupaya menjadi sandaran semangat buat Zii Jia yang mempunyai memori manis di gelanggang tersebut. Kali pertama Zii Jia beraksi di Impact Arena adalah menerusi penampilan sulungnya di Piala Thomas ketika edisi 2018.

Skuad negara ketika itu tersingkir dalam suku akhir, tetapi Zii Jia memenangi tiga daripada empat aksinya. Sebaik menjalani latihan di gelanggang rasmi, Zii Jia terusik dengan nostalgia menjelang kempen yang bermula esok.

“Memang satu pengalaman yang bagus dan pertama kali beraksi di Piala Thomas di venue ini. Bergandingan bersama Lee Chong Wei pada ketika itu, ia merupakan pengalaman yang bagus,” kata Zii Jia. Di sebalik ketenangan Zii Jia, Hendrawan berkongsi keadaan sebenar anak buahnya itu. Dia meramalkan kejutan sepanjang kejohanan itu, dan Zii Jia boleh mengelak nasib buruk sekiranya cepat menyesuaikan diri.

“Cara dia berfikir agak kelam kabut namun saya berasakan semua pemain menghadapi perkara yang sama. Kejohanan ini amat penting bagi memastikan mendapatkan semula sentuhan. Semestinya ia merupakan satu kejohanan yang baru buat semua tetapi pencapaian dan keputusan yang positif perlu dihasilkan,” kata Hendrawan. sumber: Astro Stadium

Malay News
Sports desk